KUALA LUMPUR- FGV Holdings Berhad (FGV) melupuskan 100 peratus kepentingan dalam FGV China Oils Ltd (FGVCO) pada harga pertimbangan tunai RMB165 juta (kira-kira RM100 juta) kepada Grand Industrial Holding Co. Ltd (GIH).

GIH merupakan syarikat China yang disenaraikan di Bursa Saham Shenzen.

Syarikat peladangan sawit terbesar negara itu dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, kedua-dua syarikat itu telah memeterai Perjanjian Pemindahan Ekuiti pada 10 Julai lalu.

Urusniaga dijangka diselesaikan di antara hujung 2019 dan suku pertama tahun depan.

“Pelupusan saham FGVCO tidak memberi sebarang kesan material kepada perniagaan semasa FGV mahupun perancangan strategik syarikat untuk pasaran China.

“Ia juga sejajar dengan pelan transformasi FGV untuk melupuskan aset-aset bukan teras bagi memberi fokus untuk memaksimumkan pulangan daripada perniagaan teras dan menguntungkan.

“Dana hasil penjualan FGVCO akan digunakan untuk keperluan modal kerja umum syarikat.

“Ia juga dijangka tidak akan memberi sebarang impak besar terhadap pendapatan sesaham kumpulan,”kata FGV.

FGVCO merupakan anak syarikat milik penuh FGV yang terletak di Dongguan, China.

Ia terlibat dengan kerja-kerja pemprosesan, penapisan, penyimpanan dan pemasaran produk minyak sawit yang boleh dimakan bagi pasaran China.

Syarikat tersebut merekodkan kerugian disebabkan ketidakadilan pasaran berikutan persaingan sengit dengan pembekal serantau.

Dana pemegang saham FGVCO setakat 31 Disember 2018 adalah RMB107 juta.-MalaysiaGazette