Kapal mewah ‘Equanimity’ yang dijual secara kehakiman oleh Mahkamah Admiralti Malaysia pada harga AS$126 juta,.

KUALA LUMPUR – Hasil jualan Kapal Equanimity sebanyak RM527.4 juta (AS$126 juta) akan digunakan untuk melunaskan komitmen hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan sudah menerima sepenuhnya hasil jualan kapal Equanimity yang dijual kepada Genting Malaysia Berhad pada 23 April lalu,

Bagaimanapun, hasil jualan itu kini disimpan di dalam Sheriff’s Stakeholder Account (dalam sebuah syarikat guaman terkemuka di Malaysia) untuk tempoh tiga bulan bagi tujuan penyesuaian dengan tuntutan perbelanjaan penyelenggaraan kapal yang akan ditentukan melalui Perintah Mahkamah.

Guan Eng berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang meminta menteri kewangan itu menyatakan berapa nilai bersih hasil penjualan kapal Equanimity dan ke manakah wang tersebut akan disalurkan.

Menurutnya, baki hasil jualan setelah ditolak jumlah perbelanjaan yang terlibat akan didepositkan ke dalam Recovery Account milik 1MDB atau Kementerian Kewangan pada bulan Ogos 2019. – MalaysiaGazette