Fizo Omar (kanan) dan Mawar. Foto Instagram Fizo Omar.

KUALA LUMPUR – Pelakon Fizo Omar menyifatkan perceraian dengan bekas isterinya, Mawar Abdul Karim bukannya pengakhiran sebaliknya ia satu permulaan.

Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar berkata demikian dalam perkongsiannya di akaun Instagram miliknya semalam.

Menerusi kapsyen, Fizo berterima kasih kepada semua kawan media, netizen dan peminat yang mendoakan terbaik buat mereka berdua meskipun rumah tangga pasangan itu berakhir dengan perceraian hari ini.

“Apa yang berlaku antara saya dan Mawar ini adalah dgn izin-Nya. Setelah pelbagai usaha dilakukan, kami bersepakat untuk berpisah dengan cara baik. Sesiapa yang berumahtangga mengharapkan kebahagiaan hingga ke akhir hayat.

“Tapi perancangan Allah untuk kita adalah yang terbaik, saya terima dengan takdir ini dan saya percaya Allah tidak pernah zalim kepada hamba-Nya dan setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.

“Kita sebagai manusia haruslah memandang ke arah hikmah yang positif dan jangan sesekali bersangka buruk kepada takdir-Nya” tulisnya Fizo.

Fizo, 34, menambah walaupun statusnya bersama bekas isteri telah berakhir namun ia bertukar kepada co-parent kepada zuriat mereka Wan Maryam Wan Hafizol.

Semalam, Fizo melafazkan cerai talak satu di hadapan Hakim Syarie Che Abdullah Che Hassan di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat.

Dia membuat permohonan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 pada 17 Jun 2019.

Dalam prosiding itu, Fizo tidak diwakili peguam syarie manakala Mawar diwakili peguam syarie Zulkifli Che Yong dan Syamimi Ab Rahman. – MalalaysiaGazette