Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diiringi Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof melawat pameran pada Majlis Pelancaran Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 11 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Kerajaan mahu mewujudkan usahawan tulen dan bukan ahli perniagaan yang pandai ‘berbohong atau menipu.’

Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila menegaskan, nilai dan budaya keusahawanan bukan sesuatu yang asing dalam kalangan warga Malaysia malah ia merupakan nilai dan semangat yang telah dilentur sejak awal lagi.

Katanya, tidak ada usahawan yang akan berjaya tanpa disiplin dan kesungguhan – begitu juga perlunya sikap yang positif dan keberanian dalam menangani risiko.

“Nilai teras seperti integriti dan kebolehpercayaan juga mesti diasuh sejak dari awal.

“Kita mahu melahirkan usahawan bukan ‘peniaga pandai membelit dan menipu pelanggan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) di KLCC hari ini.

Menurut Mahathir, selain daripada nilai-nilai tersebut, dasar keusahawanan turut menekankan perlunya
kepada pendidikan dan latihan keusahawanan yang berterusan.

Katanya, langkah itu penting kerana semua usahawan perlu bersedia menghadapi dan melalui Revolusi Industri 4.0.

Tambahnya, kegagalan mengikuti perkembangan dan cabaran dari Industri 4.0 akan meminggirkan usahawan-usahawan sekiranya mereka tidak bersedia daripada awal.

“Saya harap dengan wujudnya Dasar Keusahawan Nasional ini, beberapa isu yang mengganggu kelompok usahawan kita dapat diselesaikan,” ujarnya.

Terdahulu, Mahathir melancarkan DKN 2030 yang merupakan dasar pertama di negara ini yang digubal secara komprehensif dan terkhusus dalam bidang keusahawanan.

DKN 2030 merupakan dokumen strategi jangka panjang bagi menetapkan hala tuju keusahawanan negara dengan menggariskan objektif, sasaran, strategi serta inisiatif pembangunan ekosistem keusahawanan merentasi semua bidang industri dan merangkumi setiap peringkat usahawan dan masyarakat di Malaysia. – MalaysiaGazette