Russel Alexander

KUALA LUMPUR – Kontroversi menyelubungi dua atlet negara, Russel Alexander Nasir Taib dan Muhammad Aqil Yasmin apabila mereka tidak dibenarkan bertanding pada acara 200 meter pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Napoli, Itali semalam tanpa alasan.

Russel yang merupakan pemegang rekod 200m negara terpaksa menggunaka media sosial Facebook untuk memohon maaf kepada keluarga, rakan-rakan dan peminatnya, selepas tidak dibenarkan masuk ke bilik panggilan kerana namanya tidak dalam senarai permulaan.

“Saya tidak dapat menjelaskan alasan teknikal di sebalik insiden ini kerana masih tidak jelas mengenai keputusan itu. Oleh itu saya akan menahan diri daripada membuat kenyataan yang salah tetapi boleh mengatakan kedua-dua nama saya dan rakan senegara saya tiada dalam senarai mula untuk acara saringan 200m.

“Sejak jam 8 malam tadi (2 pagi waktu Malaysia), saya cuba mencari sebab nama saya tidak dalam senarai mula dan cuba membetulkan sebarang kesilapan yang telah dibuat. Bagaimanapun, ketika masuk ke bilik panggil pagi ini, saya dilarang masuk ke trek utama untuk bertanding kerana nama saya tidak tersenarai.

(Nota: Saya tidak membuat sebarang andaian buat masa ini mengenai siapa yang buat silap,” katanya dalan hantaran di Facebooknya.

Jelas Russel yang berusia 21 tahun, dia telah berusaha keras untuk ke pertandingan tersebut dan apabila insiden ini berlaku, ia amat mengecewakan.

“Saya memohon maaf kepada pihak yang membantu untuk saya ke pertandingan ini (keluarga, kumpulan latihan dan jurulatih) kerana tidak dapat mewakili mereka serta negara dan mengecewakan penyokong olahraga Malaysia,” katanya.

“Saya menyasarkan pertandingan ini lebih 12 bulan dengan memperbaiki catatan masa terbaik semusim 22.0 saat (s) pada awal 2018 sehingga catatan kini 20.77s untuk acara ini (masa kelayakan 20.97s),” katanya atlet berusia 21 tahun itu.

Berikutan kejadian itu, Russel dan Muhammad Aqil kini berlatih untuk acara 4x100m bersama juara 100m Sukan SEA 2017, Khairul Hafiz Jantan dan Jonathan Nyepa yang akan berlangsung esok.

Russel, pemenang pingat gangsa Kejohanan Remaja Asia 2015 yang kini berpangkalan di Queensland, Australia, mencatat rekod kebangsaan 200m selepas melakukan catatan 20.77s ketika meraih pingat perak kejohanan Trek Klasik Queensland, Australia, 23 Mac lalu.

Masa tersebut memadam rekod milik Khairul Hafiz Jantan, 20.90s yang dilakukan pada Terbuka Malaysia 2017. – MalaysiaGazette