Gambar hiasan

TEMERLOH – Polis memperoleh perintah reman selama dua hari bermula hari ini, terhadap dua wanita bagi membantu siasatan penipuan pakej umrah murah yang dipercayai aktif di beberapa daerah di Pahang.

Perintan reman terhadap suspek berusia 33 dan 22 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Hayatul Hafifie Hisham bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua suspek termasuk seorang yang dipercayai perancang utama penipuan itu, tiba di mahkamah pada 8.50 pagi dengan berpakaian lokap warna ungu dan dikawal rapi anggota polis.

Mereka ditahan di hadapan mesin pengeluaran wang automatik di sebuah pusat membeli belah di Shah Alam, Selangor pada 7.20 petang semalam, bagi membantu siasatan penipuan umrah melibatkan 19 mangsa di sini.

Suspek didakwa menawarkan pakej umrah bernilai RM2,200 seorang kerana mengatakan kos selebihnya ditanggung penaja berpangkat ‘datuk’, sebelum memaklumkan penerbangan ke Tanah Suci terpaksa ditunda tanpa memulangkan wang peserta.

Difahamkan selain Temerloh, suspek juga dipercayai aktif melakukan kegiatan sama di Jerantut, Bentong dan Cameron Highlands.

— BERNAMA