Aminuddin Yahaya

KUALA LUMPUR – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) melahirkan kebimbangan apabila wujud ‘tangan ghaib’ didakwa mencampuri urusan mahkamah yang melibatkan pesalah bagi hukuman di bawah Akta Hasutan 1948.

Presidennya, Aminuddin Yahaya berkata, penangguhan hukuman itu didakwa hasil daripada perbincangan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mungkinkah ini merupakan hasil ‘perbincangan’ antara Dr Mahathir dan Anwar seperti yang dilaporkan tempoh hari?

“Kita tidak pasti apa yang telah berlaku tetapi perkembangan ini agak membimbangkan.

“Kerajaan selalu sebut-ratib rule of law tetapi ini sudah jadi rule apa? Macam ada ‘tangan-tangan’ yang mencampuri urusan mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Abdul Halim Aman hari ini yang menerima permohonan pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin untuk mendapatkan penangguhan hukuman penjara atas kesalahan menghasut.

Permohonan dikemukakan peguam Radzlan Jalaluddin, manakala pihak pendakwaan pula diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah.

Terdahulu pada 9 Julai lalu Abdul Halim mendapati Wan Ji bersalah menghasut dan menanam kebencian rakyat terhadap institusi raja-raja.

Abdul Halim kemudian meminda hukuman penjara ke atas anggota PKR itu dengan menjadikannya setahun berbanding sembilan bulan sebelum ini selepas memberi pertimbangan kepada rayuan silang pihak pendakwaan.

Pada 9 April 2018, Wan Ji didapati bersalah terhadap pertuduhan menerbitkan perkataan menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk membabitkan isu agama dalam akaun Facebook wanji.attaaduddi.

Kesalahan itu dilakukannya di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, di sini, jam 10 pagi, pada 5 November 2012.

Aminuddin juga melahirkan kekhuatirannya dengan perkembangan itu kerana ia boleh mengundang kepada penghinaan rakyat terhadap Raja-Raja Melayu secara terbuka.

“Saya bimbang selepas ini rakyat lain akan semakin berani menghina Raja-Raja.

“Saya tak menolak kemungkinan, silap-silap nanti beliau akan terus diampunkan saja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette