Anthony Loke
Anthony Loke Siew Fook

KUALA LUMPUR – Penguatkuasaan lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV) yang diwajibkan kepada semua pemandu perkhidmatan e-hailing, dilanjutkan sehingga tiga bulan, bermula hari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, dalam tempoh itu, semua pemandu e-hailing yang masih belum mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan kerajaan dibenarkan meneruskan operasi seperti biasa.

“Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil pendekatan penguatkuasaan berbentuk ‘soft landing’ iaitu mendidik secara berperingkat kepada pemandu-pemandu e-hailing.

“Dalam tempoh ini, mana-mana pemandu yang memandu tanpa lesen PSV atau kenderaan yang tidak memenuhi syarat kenderaan akan diberi nasihat, pendidikan dan amaran akhir supaya melengkapkan semua peraturan terlibat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 26 November 2018, Anthony dalam satu kenyataan berkata, semua pemandu perkhidmatan ‘e-hailing’ mesti membuat pendaftaran PSV seperti pemandu teksi lain mulai Januari 2019.

Menurut Anthony, pemandu diberi tempoh sehingga 12 Julai 2019 untuk menyelesaikan pendaftaran lesen PSV mereka termasuk mengikuti kursus PSV.

Anthony juga berkata, setakat 11 Julai 2019, pihaknya telah meluluskan permohonan daripada 31 syarikat perniagaan penghantaran (EHO) untuk mendapatkan Lesen Perniagaan Penghantaran (LPP) daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

“Sebanyak 17,596 e-hailing Vehicle Pemit (eVP) di mana 4,216 teksi dan 13,380 kenderaan persendirian telah dikeluarkan.

“Jumlah ini akan meningkat dari semasa ke semasa setelah semua pemandu selesai mendapatkan lesen PSV masing-masing,” katanya.

Dalam perkembangan sama katanya, seramai 16,528 calon telah menghadiri kursus PSV yang dijalankan oleh EHO sendiri dan daripada jumlah itu, seramai 3,090 calon telah lulus ujian tersebut.

“Secara keseluruhannya, jumlah calon yang telah lulus ujian PSV adalah sebanyak 22,981 orang,” katanya. – MalaysiaGazette