KUALA LUMPUR- Pinewood Group menamatkan kerjasama selama 10 tahun dengan Iskandar Malaysia Studios atas persetujuan bersama.

Dengan itu, nama bagi kemudahan pembikinan filem seluas 124,000 kaki persegi di Iskandar Puteri, Johor itu kini ditukar daripada Pinewood Iskandar Malaysia Studios kepada Iskandar Malaysia Studios (IMS), berkuatkuasa semalam.

“Kerjasama Pinewood Group dengan IMS berakhir dengan persetujuan bersama selepas menjalin hubungan selama 10 tahun.

“Dengan objektif asal kerjasama ini telah pun dicapai-termasuk pembangunan studio-studio di Malaysia, kedua-dua pihak kini boleh memberi fokus kepada fasa seterusnya dalam perniagaan masing-masing,” kata kedua-duanya dalam satu kenyataan bersama.

Kompleks yang merangkumi kawasan seluas 30 ekar itu dibangunkan oleh Pinewood dan Khazanah Nasional sebagai hab kreatif di Asia Pasifik.

Sebelum pembukaannya pada 2014, agensi pembangunan filem tempatan berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pembikinan filem dari seluruh dunia dengan sasaran untuk membawa hasil sebanyak AS$1 bilion dan membuka 10,000 peluang pekerjaan menjelang 2020.

Produk pertama yang dihasilkan di studio tersebut adalah siri terbitan Netflix, Marco Polo.

Selain Iskandar Puteri, Pinewood memiliki enam lagi studio di seluruh dunia yang mana tiga daripadanya terletak di United Kingdom; satu di Antlanta, Amerika Syarikat; satu di Toronto, Kanada dan sebuah di Republik Dominica.

Syarikat British itu dilaporkan sedang dalam perancangan untuk meluaskan lagi studio-studionya di United Kingdom yang mana salah satunya yang terletak di Shepperton akan menjadi hab Netflix di Britain.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.