KUALA LUMPUR- Meskipun sering berbalah pendapat namun nampak gayanya, Chef Selebriti Datuk Redzuawan Ismail dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkongsi citarasa yang sama.

Kedua-dua mereka memilih hidangan Jepun sebagai makan malam semalam.

Menurut Redzuawan yang lebih dikenali sebagai Chef Wan, beliau pada mulanya menyangka pramusaji restoran sushi terkenal di Pavillion itu hanya bergurau apabila mengatakan Najib berada di belakang beliau.

“He He..malam tadi saya ke Pavillion untuk makan malam di (restoran) Kampachi.

“Sebaik sahaja saya duduk, pramusaji berkenaan memberitahu saya: Chef Wan, Najib makan di belakang anda.

“Pada mulanya saya menyangka dia bergurau dan apabila saya menoleh ke dalam bilik berkenaan, ya..ada orang yang diperkatakan itu sedang makan dengan seorang lelaki.

“Ada aku kisah?” katanya.

Hantaran tersebut menerima pelbagai respon daripada warganet.

Ada yang meminta supaya Chef Wan tidak terus mengutuk Najib dan ramai juga yang membalas dengan gurauan dengan mengatakan, “jangan terlalu membenci seseorang kerana mungkin suatu hari boleh berubah menjadi kawan baik pula.”

“Kadang-kadang orang yang kita benci itulah yang akan menjadi kawan baik kita,” kata @shohaidaahmad_2018.

Manakala @diasara_omar pula membalas hantaran tersebut dengan: “Makin kuat pula jodoh itu hehe”.

Pertelagahan di antara Chef Wan dan Najib kembali memuncak apabila bekas Perdana Menteri menegur kenyataan ikon Felda itu yang mengatakan peneroka pemalas dan beranak ramai seperti anak kucing.

Keduanya kemudiannya berbalas komen di platform media sosial masing-masing.

Hujung minggu lalu, Felda menganugerahkan Chef Wan yang juga merupakan generasi kedua Felda sebagai ikon.- MalaysiaGazette