Khairul Nizam Mustafa berkata, kualiti minyak pelincir Pertamina kini berada di kedudukan ke-13 dalam senarai minyak pelincir dunia.

KUALA LUMPUR – Yasmin Holdings Sdn. Bhd. menerusi anak syarikatnya, My FlexiTank Industries Sdn. Bhd. (My Flexitank), pengedar tunggal minyak pelincir Pertamina sejak 2014 di negara ini membuka peluang kepada orang awam atau pemilik bengkel untuk menyertai rangkaian perniagaannya sebagai ejen dengan modal serendah RM3,000.

Pengurus Besar My FlexiTank, Khairul Nizam Mustafa berkata, bagi individu yang baru ingin berjinak-jinak dalam dunia perniagaan dalam talian terutamanya mahasiswa, mereka dipelawa menggunakan konsep dropship yang tidak memerlukan modal.

Jelas beliau, kelebihan memulakan perniagaan dalam talian dengan menjadi dropship produk Pertamina adalah mereka hanya perlu memasarkan produk tersebut dan menerima komisen hasil jualan sahaja.

“Bagi yang berminat menjadi usahawan dropship, mereka tidak perlu mengeluarkan modal untuk mengambil stok yang akhirnya jika stok tersebut tidak habis terjual, ia menjadi beban kepada usahawan.

“Selain itu, sistem dropship Pertamina turut memberikan sokongan daripada segi teknik pemasaran, iklan dan khidmat nasihat kepada usahawan baharu,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

8J0A6909
My Flexitank mempelawa orang ramai menjadi usahawan produk jenama Pertamina.

Pertamina adalah syarikat minyak nasional Indonesia dan berada di kedudukan 122 dalam senarai Fortune Global 500 dengan nilai pendapatan lebih AS$70.9 bilion.

Mengulas lanjut, Khairul Nizam berkata, mereka yang berminat menjadi ejen Pertamina hanya dikenakan modal serendah RM3,000.

“Kita sasarkan untuk merekrut sekurang-kurangnya tiga atau empat orang ejen di setiap negeri pada akhir tahun ini dalam usaha meluaskan penjualan produk Pertamina di negara ini,” katanya.

Ketika ini, produk Pertamina boleh didapati di lebih 100 bengkel dan pengedar sah seluruh negara dengan harga bermula dari RM16 hingga RM226.

Khairul Nizam berkata, kualiti minyak pelincir Pertamina juga tidak dapat dipertikaikan lagi apabila ia berada di kedudukan ke-13 dalam senarai minyak pelincir dunia meninggalkan syarikat minyak nasional, Petronas pada kedudukan ke-15.

“Jadi kita yakin, produk ini mampu diterima di seluruh dunia dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga membuktikan ia minyak pelincir yang bagus.

“Cuma, ketika ini kita giat dengan aktiviti mempromosi untuk ubah persepsi orang kita bahawa barangan Indonesia tidak bagus.

“Padahal banyak produk antarabangsa berkualiti tinggi dibuat di sana seperti tayar jenama Bridgestone,” katanya.

Sementara itu, mereka yang berminat menjadi usahawan produk Pertamina boleh menghubungi talian +6019-4002724. – MalaysiaGazette

8J0A7018
My FlexiTank merupakan anak syarikat, Yasmin Holdings Sdn. Bhd.