Datuk Seri Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador menafikan dakwaan yang beliau akan membawa ke perhatian Peguam Negara Tommy Thomas kes berkaitan bekas penguasa polis Md Ali Amir Batcha yang didakwa terlibat dalam rompakan ketika bertugas 20 tahun lalu.

Dakwaan itu dibuat Md Ali selepas pertemuannya dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman semalam.

“Saya tidak sesekali membuat sebarang janji untuk mengangkat perkara ini kepada pihak Peguam Negara sebagaimana dakwaan beliau,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata, pada pertemuan itu Md Ali menyatakan dirinya menjadi mangsa fitnah dan ketidakadilan sistem perundangan kerana disekat oleh pihak tertentu daripada membuat rayuan ke atas kes penahanannya.

Menurut beliau, Md Ali berhak untuk meneruskan usaha menuntut keadilan berlandaskan prinsip keadilan semula jadi dan mengemukan rayuan kerana itu adalah haknya di sisi Perlembangaan.

Md Ali, 65, yang pernah bertugas dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Jenayah Berat (D9) menuntut kerajaan Pakatan Harapan menubuhkan sebuah tribunal khas bagi menyiasat semula tuduhan palsu yang beliau terlibat dalam rompakan pada tahun 90-an.

Md Ali mendakwa menjadi mangsa kepada satu konspirasi dan kini mahu buktikan beliau tidak pernah terlibat dalam rompakan itu. – Bernama

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.