KUALA LUMPUR – Pendakwah, Ustaz Ebit Lew, terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara pada awal pagi tadi.

Beliau bersama dua individu yang dalam perjalanan pulang daripada ceramah di Masjid Politeknik Pasir Gudang ke Kuala Luimpur mengalami kecederaan ringan dalam insiden berhampiran Seremban, Negeri Sembilan.

Menurut Ebit, sebuah kereta secara tiba-tiba masuk ke lorong kanan dan menghimpit kenderaan yang dinaikinya dan ketika itu tiada kenderaan lain berada di lebuh raya tersebut.

“Saya cuba elak sampai hampir kena divider (pembahagi) kanan. Dua-dua (kenderaan) hampir terbalik.

“Saya tercampak ke depan. Sempat mengucap. Terhentak kuat juga. Sakit badan dengan hidung,” katanya dalam laman Fecbook beliau.

Menurut Ebit, terdapat kereta berhenti sekejap untuk melihat apa yang berlaku namun beredar selepas itu.

Katanya, beliau menuju ke kereta yang terlibat dengan kemalangan itu dan melihat kenderaan terbalik terbalik namun semuanya selamat.

“Tiba saya pandang mana kereta satu lagi. Cari dekat belakang. Kereta tu terbalik. Syukur semuanya selamat.

“Walau kita dah bawa elok tiba-tiba orang boleh leka atau mengantuk himpit kita. Syukur pada Allah semua selamat,” tambahnya. – MalaysiaGazette