JOHOR BAHRU- Kerajaan Johor berharap alat pengesan gas yang digunakan untuk membaca ‘volatile organic compounds’ (VOC) kekal ditempatkan di sekolah berisiko di Pasir Gudang, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan.

Beliau berkata penempatan peralatan pengesan gas itu yang dipinjamkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan diberi keutamaan kepada 10 sekolah berada berdekatan kawasan perindustrian bagi membolehkan guru memantau keadaan semasa udara, sekali gus bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Perkara ini saya harap dapat ditunaikan sama ada oleh JAS atau dengan bantuan pihak industri berada di kawasan Pasir Gudang demi keselamatan anak-anak di sekolah,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Dahlia, di sini, hari ini.

Beliau, bagaimanapun tidak menyatakan sepuluh sekolah tersebut.

Hari ini adalah hari terakhir alat pengesan gas itu yang dipinjamkan JAS kepada 111 sekolah di Pasir Gudang berikutan kejadian sesak nafas dan muntah-muntah dipercayai disebabkan pencemaran udara di kawasan berkenaan sejak 20 Jun lepas.

Pada lawatan tersebut, beliau turut mendapati bacaan kualiti udara di sekolah berkenaan menunjukkan kualiti udara normal sejak seminggu lepas, dan sesi persekolahan diteruskan seperti biasa di aras bawah sekolah.

“Sehingga kini, tiada arahan daripada JAS sampai bila pengosongan (bilik darjah di tingkat atas) akan dilakukan, tetapi kita ambil tindakan proaktif dengan kita kosongkan dahulu. Kalau dapat alat pengesan secara kekal itu lebih baik dan kalau boleh ada ‘alarm’ kalau bacaan gas tinggi, loceng akan berbunyi jadi semua orang tahu dan bersedia,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aminolhuda mengumumkan satu tabung bantuan akan diwujudkan bagi membantu Irfan Wafiy Idham Wazir, 12, yang menghidap penyakit Myokymia, sejenis penyakit berkaitan saraf.

Beliau berkata tabung bantuan berkenaan bagi membantu membiayai kos rawatan pelajar tahun enam SK Taman Bukit Dahlia itu untuk mendapatkan rawatan penyakit tersebut.

“Berdasarkan perbincangan dan pertemuan dengan keluarga adik Irfan dan wakil rakyat Permas, saya akan usahakan tabung khusus untuk rawatan Irfan.

“Kita minta orang ramai dan syarikat-syarikat berdekatan sini menghulurkan bantuan untuk rawatan munasabah baginya selepas menduduki peperiksaan UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) pada September ini,” katanya.

Beliau berkata kos dan cadangan rawatan sama ada di dalam atau luar negara dan bentuk bantuan akan dibincangkan kemudian.

Dalam pada itu, bapa Irfan Wafiy, Idham Wazir A. Wahab, 49, mengucapkan terima kasih atas penubuhan tabung berkenaan bagi membantu rawatan anaknya.

“Saya hargai, sebab memang memerlukan kos untuk dapatkan rawatan di luar negara dan sebagainya. Sekarang di sini semuanya saya tanggung sendiri, macam hendak buat rawatan di Kuala Lumpur, rawatan tradisional, alternatif dan ubat-ubatan supplement, semuanya yang khas, bukan ubat biasa.

“Kos untuk rawatan Myokymia itu saya rasa tinggi, saya pun tidak pasti sebab tiada di Malaysia. Setakat ini saya hanya bagi ubat sawan biasa, itu pun saya hadkan sebab tidak mahu menjejaskan perhatian dia dalam pelajaran sebab ubat itu menyebabkan mengantuk,” katanya.- Bernama