Penduduk terpaksa berpindah apabila banjir kilat yang melanda Kathmandu semakin buruk.

KATHMANDU  – Banjir kilat dan tanah runtuh yang disebabkan hujan musim tengkujuh telah mengorbankan 15 nyawa dan mencederakan 12 lagi manakala 18 lagi masih hilang dalam tempoh semalaman.

Menurut pegawai-pegawai kerajaan, angka terbaharu itu menjadikan kesemua mangsa yang terkorban adalah seramai 30 orang dalam kejadian hujan lebat yang melanda Nepal sejak Khamis.

Tambah mereka, Sungai Kosi yang terletak di timur Nepal dan mengalir ke negeri Bihar di India sudah melepasi paras bahaya.

Sungai berkenaan menjadi kebimbangan serius kepada India dan Nepal selepas insiden empangan pecah pad 2008 sehingga menenggelamkan tanah dan dua juta penduduk Bihar. Kira-kira 500 orang terkorban di dalam kejadian tersebut.

Pegawai meteorologi, Bibhuti Pokhrael meminta penduduk sentiasa berjaga-jaga kerana hujan lebat dijangka berterusan sepanjang hujung minggu ini.

“Meskipun hujan mula reda di beberapa kawasan, orang ramai diminta terus berhati-hati kerana terdapat risiko hujan lebat sehingga Ahad,” katanya.

Hujan monsun yang biasanya bermula pada Jun dan berterusan sehingga September amat penting kepada Nepal yang mempunyai 30 juta penduduk serta India kerana kedua-dua negara berkenaan bergantung kepada taburan hujan untuk perladangan.

Bagaimanapun, kejadian tanah runtuh dan banjir sering menyebabkan ramai rakyat terkorban setiap tahun.- MalaysiaGazette