JAKARTA- Presiden Joko Widodo atau Jokowi bertemu dengan bekas pencabarnya, Prabowo Subianto di sebuah stesen MRT di Lebak Bulus, Jakarta Selatan pagi semalam.

Ini merupakan pertemuan pertama bagi kedua-duanya selepas pemilihan presiden beberapa bulan lalu yang berakhir dengan pertelagahan disebabkan rasa tidak puas hati Prabowo di atas kemenangan Jokowi.

Kedua-duanya memakai kemeja berwarna putih sempat bersalaman sebelum menaiki tren MRT pertama negara itu yang mula beroperasi Mac lalu.

Jokowi dan Prabowo berbual secara persendirian dalam sebuah koc tertutup.

Orang ramai yang berada di sekitarnya ada melaungkan ayat “kami sayangkan anda” apabila Jokowi dan Prabowo kelihatan turun dari stesen Senayan pada jam 10.50 pagi.

“Saya belum pernah menaiki MRT, jadi terima kasih tuan Presiden kerana mengajak saya. Saya mengucapkan tahniah kepada Jokowi di atas kemenangan beliau sebagai presiden,” kata Prabowo sebaik melangkah keluar daripada tren.

“Selepas bertanding dalam Pilpres, Alhamdulillah saya dan Prabowo bertemu kembali,” kata Jokowi pula.

Mereka kemudiannya menikmati sarapan pagi di sebuah restoran popular, Sate Khas Senayan di sebuah pusat beli-belah berdekatan.- MalaysiaGazette