KUALA LUMPUR – Selangor membenam PJ City 3-0 dalam saingan Liga Super yang berlangsung di Stadium Shah Alam malam tadi sekaligus meletakkan pasukan itu dalam kelompok tiga teratas.

Keputusan itu menyaksikan The Red Giants menduduki tempat keempat ketika ini dan berkongsi 34 mata bersama pasukan tangga ketiga, Kedah.

Selangor bagaimanapun perlu menundukkan PKNS FC pada perlawanan terakhir di gelanggang sama, pada 20 Julai ini sambil mengharapkan Kedah dan Melaka United tewas.

Dalam perlawanan di Stadium Darul Aman Alor Setar, usaha Kedah meraih tiga mata di laman sendiri tercapai apabila menewaskan Perak 4-2 sekali gus berjaya melonjakkan skuad Helang Merah pada kedudukan tangga ketiga liga.

Di Seri Manjung pula, perlawanan antara PKNP FC dan FELDA United FC hanya kekal 1-1 sehingga wisel terakhir ditiup membolehkan kedua-dua pasukan memperoleh 16 mata dengan pasukan tuan rumah berada setakuk di atas lawannya itu dengan kelebihan perbezaan gol.

Manakala, dalam perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencerahkan peluang ke saingan Liga Super musim hadapan selepas menewaskan Negeri Sembilan (NS) 3-2.

Keputusan itu sekali gus meleburkan hasrat skuad Hoben Jang Hoben untuk mengukuhkan kedudukan peluang ke Liga Super musim depan bersama Sabah.

Berikut adalah keputusan aksi Liga Super yang berlangsung semalam dan malam tadi:

LIGA SUPER

Kedah 4 – 2 Perak

PKNP FC 1 – 1 Felda United FC

Selangor 3 – 0 PJ City FC

Kuala Lumpur 0 – 4 Johor DT

– MalaysiaGazette