Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud turut memeriksa butir peribadi pekerja asing ketika mengetuai Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia di hadapan Kompleks Kotaraya, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 14 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia masih lagi menunggu laporan daripada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) berhubung kematian seorang pelajar warga Nigeria yang telah meninggal dunia ketika dalam tahanan di Depot Imigresen Bukit Jalil pada 9 Julai lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, laporan perubatan tersebut berkemungkinan akan diperoleh pada hari esok atau Selasa.

“Imigresen telah mengadakan perjumpaan dengan pihak kedutaan pada Jumaat lepas dan sebab kematian juga telah pun dijelaskan.

“Perjumpaan itu juga telah disertai oleh 22 buah keduataan lain di mana perkara-perkara yang berkaitan imigresen telah pun dibincangkan dalam pertemuan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan Operasi Bersepadu menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI) di Jalan Silang di ibu negara di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kes kematian Orhions Ewansiha Thomas, seorang pelajar Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang pengurusan yang meninggal dunia ketika dalam tahanan imigresen.

Thomas, seorang pelajar bidang pengurusan dipercayai telah mengalami sawan ketika sedang tidur.

Mengulas lanjut, Khairul berkata, siasatan yang dijalankan oleh pihaknya sendiri tidak menunjukkan sebarang unsur pelajar warga asing yang meninggal itu dipukul ataupun berlaku kekerasan fizikal ke atas dirinya.

Katanya, segala urusan berhubung kes kematian itu telah dibuat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan,

“Seperti mana yang telah diterangkan sebelum ini, dia meninggal pada pukul 12.10 malam pada 9 haribulan tersebut.

“Dia telah diberikan bantuan perubatan awal daripada pihak HUKM dan pengurusan terhadap kes ini telah dibuat mengikut SOP yang sewajarnya,” ujarnya.

Thomas ditahan pada 4 Julai sekitar jam 10.45 malam dalam satu Ops Bersepadu di kawasan Desa Aman Puri, Kuala Lumpur.

Operasi tersebut dijalankan atas aduan awam yang diterima pada 19 Mac, 15 dan 19 April 2019 berkaitan warga Afrika yang dipercayai oleh penduduk setempat telah terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah, pelacuran dan mabuk di tempat terbuka.

Hasil operasi berkenaan telah menangkap 20 orang warganegara asing bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Menurut pihak imigresen, Thomas bertindak melarikan diri dan enggan memberi kerjasama kepada pegawai operasi untuk membuat pemeriksaan.

Thomas kemudian mengemukakan pasport dan hasil semakan juga mendapati bahawa dia mempunyai pas pelajar yang masih sah.

Bagaimanapun, tindakan pelajar tersebut untuk melarikan diri telah menimbulkan keraguan pihak imigresen terhadap ketulenan pas pelajar yang dimilikinya dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(I) lalu ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) selama 14 hari untuk siasatan lanjut.

Susulan operasi itu, pelajar berkenaan bersama tahanan lain dibawa ke pejabat Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Semua tahanan operasi itu termasuk Thomas dihantar ke Depot Imigresen Bukit pada 5 Julai pukul 12 tengahari.

Pada jam 12.05 tengah malam 9 Julai, pegawai bertugas telah dimaklumkan oleh tahanan lain Thomas mengalami sawan ketika sedang tidur.

Pihak imigresen menegaskan pihak Unit Rawatan Khas yang bertugas telah mengambil menjalankan pemeriksaan dan rawatan serta merta dan menghubungi pihak Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk mendapat bantuan.

Kemudian, sebuah ambulan HUKM tiba di lokasi kejadian bersama seorang Penolong Pegawai Perubatan pada jam 12.30 tengah malam dan terus melakukan pemeriksaan.

Namun, Thomas disahkan telah meninggal dunia.

Susulan itu, pegawai penyelia dan pegawai bertugas membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Jalil. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.