Pemuda UMNO Bukit Bintang, Audi Abd Hamid bercakap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Bintang 2019 di PWTC, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 14 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Di sebalik penerimaan kepimpinan Barisan Nasional (BN) terhadap perlantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN masih ada suara  peringkat akar umbi yang menentangnya.

Menurut Pergerakan Pemuda UMNO Bukit Bintang, Audi Hamid, bekas Presiden UMNO itu tidak perlu membuat kemunculan semula.

Alasannya kerana mendakwa ada pihak yang tiada mahu Najib kembali ke parti.

“Pandangan saya sebagai orang muda, saya tidak menyokong Datuk Seri Najib kembali kepada BN atau UMNO, bukan sebab saya tidak suka dia tapi sebab isu-isu yang melibatkan dirinya yang akan menyebabkan ahli tidak dapat menerima baik dengan kehadirannya,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Bintang di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Hadir merasmikan mesyuarat berkenaan adalah Pengerusi Badan Pertubuhan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau turut mendakwa ada segelintir Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO turut menolak pelantikan Najib sebagai Pengerusi Penasihat BN.

Bagaimanapun, Audi tidak menamakan mana-mana ahli MT UMNO yang didakwa tidak bersetuju dengan lantikan itu disebabkan Najib kini bergelumang dengan banyak kes di mahkamah.

Sebelum ini, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pengaruh Najib diharap mampu membantu BN berkuasa semula pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), menjadi faktor beliau dilantik Pengerusi Lembaga Penasihat gabungan itu.

Malah katanya, Najib dilihat mampu menyumbang idea dan tenaga untuk menarik sokongan rakyat.

Lantikan Najib ke jawatan Pengerusi Lembaga Penasihat BN menerima kritikan veteran UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Mohamed Nazri sebelum ini dilaporkan mempersoalkan kemampuan Najib memberi nasihat kerana BN dan UMNO tumbang di bawah pentadbirannya, manakala Khairy mengaku tidak gembira dengan pelantikan itu. -MalaysiaGazette