BAGAN SERAI – “Tahun 2009 saya tolak rasuah puluhan juta ringgit untuk melompat parti. Amat pelik jika saya ingin mengambil rasuah beberapa ratus ribu seperti yang dituduh sekarang.”

Itu penjelasan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari.

Beliau berkata demikian menjawab dakwaan Ahli Jawatankuasa PKR Parit Buntar, Beh Yong Kean yang mendakwanya membocorkan kertas minit mesyuarat Exco bagi mendapatkan komisen daripada dua syarikat.

Namun bagi Abdul Yunus, perkongsian pelbagai maklumat dan data kerajaan negeri dibuat atas kapasiti sebagai wakil rakyat.

Beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak.

Beliau berkata perkongsian itu penting untuk menyelesaikan pelbagai aduan, serta masalah rakyat di kawasan yang diwakilinya.

“Saya dan pegawai-pegawai pusat khidmat ADUN setiap minggu atau bulan akan bermesyuarat, banyak dokumen serta surat-surat kerajaan yang dibincangkan, untuk menyelesaikan pelbagai masalah.

“Saya kongsi pelbagai maklumat dan data dengan pegawai-pegawai khas, serta kakitangan pejabat atas kapasiti sebagai wakil rakyat dalam urusan rasmi,” katanya dalam sidang media selepas membuat laporan polis terhadap Ahli Jawatankuasa PKR Parit Buntar, Beh Yong Kean di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian seperti dilaporkan Bernama di sini, hari ini.

Abdul Yunus tiba dengan beberapa pegawai khasnya di IPD Kerian pada pukul 10.20 pagi dan selesai membuat laporan polis pada 11.20 pagi.

Semalam, Yong Kean yang merupakan bekas pegawai khas Abdul Yunus, membuat laporan polis di IPD Ipoh mendakwa Exco berkenaan telah membocorkan kertas minit Majlis Mesyuarat kerajaan Perak bagi mendapatkan komisen.

Menjelas lanjut, Abdul Yunus berkata sebagai wakil rakyat sejak tiga penggal, serta kini menjadi Exco, gaji dan elaun yang diterima adalah mencukupi.

Justeru, beliau akan membuat laporan kepada Lembaga Disiplin PKR mengenai penglibatan beberapa individu yang melemparkan fitnah, serta tuduhan palsu kepadanya.

Katanya beliau juga akan membuat laporan rasmi kepada Kementerian Pendidikan, mengenai seorang guru yang bersubahat untuk menjatuhkannya, serta menggugat kestabilan kerajaan negeri.- MalaysiaGazette