Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri sambil diiringi Ahli Parlimen Pembangkang yang lain bercakap ketika sesi sidang media ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini membawa usul merujuk Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kepada Jawatankausa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Katanya, ia perlu disegerakan sebelum sidang Dewan Rakyat ditagguhkan pada Khamis ini.

Tindakan itu menyusul berikutan kenyataan Guan Eng berkaitan pembayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dirompak kerajaan Barisan Nasional mengelirukan Dewan Rakyat pada 8 Ogos lalu.

“Saya mewakili pembangkang mengemukakan usul kepada Speaker mengikut Peraturan 36 12 merujuk ahli dewan ke jawatankuasa hak dan kebebasan kerana kenyataan dalam dewan mengelirukan.

“Ia dilakukan oleh Ahli Parlimen Bagan dan Menteri Kewangan pada 8 Ogos 2018 menuduh wang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dirompak oleh kerajaan BN.

“Tetapi Laporan PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini menunjukkan tiada kehilangan wang atau wang dirompak seperti yang didakwa Menteri.

“Oleh itu saya memohon untuk merujuk Peraturan Mesyuarat 36(12) untuk merujuk menteri ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan meminta Ismail Sabri secara bertulis menyatakan sebab untuk berbuat demikian.

Ahli Parlimen Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang bangun menggesa Dewan Rakyat untuk menjamin keputusan akan dibuat dalam perkara berkenaan dalam sidang kali ini sebelum ditangguhkan pada Khamis ini.

“Saya harap anda boleh beri jaminan perkara ini boleh dibahaskan di Dewan dalam sidang kali ini,” katanya.

Sebagai menyokong permintaan Khairy, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Bera berkata, ia perlu dibahaskan segera kerana perkara tersebut melibatkan integriti pentadbiran lalu.

Kor Ming kemudian memberi jaminan kepada Ismail Sabri bahawa keputusan akan dibuat mengikut lunas undang-undang dan peraturan mesyuarat.

“Jika peraturan mesyuarat mengkehendaki keputusan dibuat sidang kali ini, maka ia akan dibuat (begitu),” katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas membawa usul itu, Ismail Sabri berkata, PAC hari ini membentangkan keputusan siasatan mereka mengenai tuduhan rompakan RM19.4 bilion dan mendapati wang itu tidak dirompak.

“Ini melibatkan integriti kerajaan lepas dan perbuatan menuduh sebagai perompak tak boleh dimaafkan,” ujarnya.

Sementara itu, Khairy berkata, polis harus mengambil tindakan susulan dalam perkara itu berikutan ia berkaitan dengan jenayah.

“Ya mereka mesti bertindak sebab saya pun dah beri keterangan sewaktu membuat laporan polis sebelum ini.

“Kalau tak ada unsur jenayah, polis mesti keluarkan kenyataan,” katanya.- MalaysiaGazette

Kutipan GST tidak dirompak- PAC