Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri bercakap kepada media ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Cara penyampaian pengerusi Majlis Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lembah Pantai yang kurang manis dan tidak sesuai mengundang situasi tidak senang dalam kalangan wartawan sehingga menganggap mereka dihalau daripada membuat liputan mesyuarat itu semalam.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, terdapat kemungkinan pengerusi berpendapat mesyuarat UMNO Bahagian adalah mesyuarat tertutup.

Berikutan itu, katanya, sesiapa sahaja selain daripada perwakilan, pemerhati yang tidak mempunyai pas tidak boleh berada dalam dewan.

“Itu norma yang mana sesiapa ada pas sahaja iaitu perwakilan dan pemerhati yang ada pas sahaja dibenarkan dan mungkin pengerusi majlis ikhlas hendak memberitahu sesiapa yang tak berkenaan dalam mesyuarat tertutup itu supaya sila keluar.

“Maka mungkin tatacara penyampaian itu agak tak berapa sesuai dan waktu itu kita pun tak terlibat dari segi keputusan berkenaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen pagi tadi.

Katanya, ada bahagian yang tidak membenarkan ucapan dipetik oleh media.

“Kadang-kadang biasanya kita sebagai yang memberi ucapan akan memberitahu ucapan ini tak boleh dipetik kalau siapa berminat nak tanya pasal ucapan kita akan buat sidang media selepas itu.

“Kadang-kadang ada media ambil di luar konteks. Dia punya pandangan berbeza dengan niat speaker, jadi bila keluar akhirnya jadi polemik yang tak menguntungkan sesiapapun,” ujarnya.

Ditanya mengapa wartawan bukan Melayu sahaja diminta meninggalkan dewan semasa mesyuarat tersebut, Ismail Sabri berkata: “Itulah saya kata, mungkin penyampaian itu. Penyampaian itu mungkin tidak sesuai bila menyebut seperti itu.

“Sepatutnya dia sebut siapa-siapa yang tidak berkenaan, bukan perwakilan, bukan pemerhati yang tidak mempunyai pas sila keluar termasuklah media sebagai menghormati mesyuarat tertutup.

“Tetapi, bila dia keluar perkataan tersebut agak sensitif, saya percaya. Saya pun faham media yang mendengar perkataan itu mesti sensitif. Ini kesilapan teknikal yang tidak disengajakan dan tidak ada niat tidak baik daripada setiausaha pengerusi majlis itu,” katanya. – MalaysiaGazette