BEIJING – Pertumbuhan ekonomi China menyusut kepada 6.2 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ini sekali gus merekodkan kadar terlemah dalam tempoh sekurang-kurangnya 27 tahun berikutan permintaan domestik dan antarabangsa menurun ekoran ketegangan perdagangan dengan Amerika Syarikat

Data pertumbuhan rasmi yang dikeluarkan pada Isnin menunjukkan momentum ekonomi terus menyusut berbanding 6.4 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya.

Ini meningkatkan harapan banyak pihak supaya Beijing mengumumkan lebih banyak langkah sokongan untuk merangsang penggunaan dan pelaburan dan memulihkan semula keyakinan perniagaan.

Penganalisis-penganalisis yang terlibat dengan undian Reuters mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)  pada suku April dan Jun naik 6.2 peratus.

Rakan-rakan perdagangan China dan pasaran kewangan memantau rapat keadaan ekonomi kedua terbesar dunia ini terutama apabila perang perdagangan China-AS semakin berpanjangan dan menelan kos yang sangat besar.

Ia juga meningkatkan kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi global.-  Agensi