Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Tidak wujud unsur perlanggaran disiplin dalam kenyataan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang mempersoalkan pelantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Barisan Nasional (BN) minggu lalu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Annuar Musa berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli UMNO itu adalah pandangan bersifat peribadi dan tidak ada sebarang kesalahan ke atas Nazri yang berhak dan bebas menyuarakan pendapatnya.

“Dia berhak meluahkan pendapat, ia (lantikan Najib) dipersetujui mesyuarat jawatankuasa tertinggi BN dan itu konsensus dibuat mengikut prosedur.

“Lagipun kedudukan (Najib) itu bukan di bawah perlembagaan parti, ia sekadar keputusan pentadbiran dan Zahid Hamidi (Presiden UMNO) dan pengerusi parti komponen lain merasakan (Najib) ada peranan yang boleh diberikan,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Diminta mengulas mengenai kenyataan Nazri bahawa Najib cuba menjadi Presiden sekali lagi, Annuar menjelaskan, adalah tidak adil untuk Nazri melemparkan tuduhan sebegitu.

“Mana boleh melemparkan tuduhan sebegitu, ini tidak adil. Najib lost the battle, kalau nak jadi pengerusi tidak boleh sebegitu.

“Dia tak boleh jadi pengerusi dengan terus jadi pengerusi jawatankuasa penasihat BN kerana perlembagaan BN dah jelas memang pengerusi dipilih dari parti komponen.

“Lagipun isu ini tak berbangkit sekarang, elok tak perlu panjangkan perkara ini.

“Lagipun tindakan Nazri bukan isu disiplin, ia hanya keputusan pentadbiran BN dan harus hormati keputusan dan tidak ada sebarang perlanggaran disiplin oleh Nazri dalam soal ini,” katanya. – MalaysiaGazette