Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Noraini Ahmad sambil diiringi Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid (dua kanan) serta yang lain bergambar kenangan sambil menunjukkan buku Laporan Audit Negara 2018 pada sidang media berkenaan laporan Ketua Audit Negara 2018 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Tujuh kementerian termasuk Kementerian Kewangan diminta memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada mesyuarat prosiding jawatankuasa itu yang akan ditentukan tidak lama lagi.

Pengerusinya, Datuk Noraini Ahmad berkata, PAC sudah mengenalpasti beberapa isu yang membabitkan beberapa kementerian dan jabatan.

“Jawatankuasa juga akan menetapkan tarikh untuk semua prosiding ini dan saya nak nasihat semua KSU (Ketua Setiausaha) supaya hadir ke prosiding PAC.

“Jika tidak dapat hadir sebab ada kekangan tugas lain, kita harap mereka akan hantar surat rasmi dan berikan tarikh baru untuk hadir di hadapan PAC.

“Ketua Audit Negara telah memaklumkan kepada PAC Parlimen bahawa sebanyak 19 projek diaudit dan daripadanya enam projek tercapai, satu tidak tercapai, lapan tidak tercapai sepenuhnya manakala empat projek tidak dapat diukur,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas mendengar taklimat Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid di Dewan Rakyat hari ini.

Pada sidang media sama, Ahli Parlimen Parit Sulong itu berkata, terdapat tujuh kes yang membabitkan pembayaran tidak wajar bernilai RM38.73 juta

Justeru katanya, PAC telah mengesan lima kes membabitkan ketirisan berjumlah RM1.764 juta dan enam kes dikategorikan membazir yang babitkan nilai RM26.47 juta.

Jelas beliau, antara sebab berlakunya situasi berkenaan adalah disebabkan kelemahan perancangan projek, kelemahan aspek bayaran, pentadbiran kontrak yang tidak teratur, pembinaan tidak ikut kualiti dan spesifikasi yang ditetapkan serta kelemahan pemantauan.

“Berikutan itu, PAC Parlimen setuju untuk panggil Jabatan Perdana Menteri (JPM) melibatkan program Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC),isu Gas Petroleum Cecair (LPG) melibatkan Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Perkara ketiga ialah melibatkan kawalan pekerja asing di bawah Kementerian Dalam Negeri dan kementerian Sumber Manusia, keempat aktiviti kecemasan dan trauma di bawah Kementerian Kesihatan, kelima adalah kelewatan pembinaan sekolah Sukan Malaysia Perlis belum siap selepas enam tahun, keenam adalah hak pendidikan tinggi Pagoh di bawah Kementerian Pendidikan dan akhirnya Isu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas)di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia,” katanya.

Ditanya mengenai Pembayaran semula GST, Noraini berkata laporan telah diedarkan di Dewan Rakyat serta orang awam menerusi laman web.

Menurutnya, laporan itu adalah hasil daripada 10 prosiding PAC selama 11 bulan.

“Jadinya apa jua segala rumusan dan syor daripada laporan itu berpendirian tetap (stand by itself). Wartawan juga dipersilakan melihat laporan itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette.