Perdana Menteri merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPT PPBM di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 15 JULAI 2019

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi ‘amaran’ seandainya wujud sebarang campur tangan pihak istana Johor dalam isu mengekalkan had umur golongan tersebut kepada 40 tahun di negeri tersebut.

Hanya selepas lapan jam menerima pindaan umur belia 15 hingga 30 tahun, kerajaan Johor membuat kejutan apabila mengekalkan semula semula had umur belia di negeri itu kepada 40 tahun.

Namun ada khabar angin mengatakan wujudnya campur tangan daripada pihak istana berhubung peraturan baharu itu.

Bagaimanapun sehingga ini tidak ada sebarang kenyataan rasmi dari pihak istana.

Jelas Mahathir, beliau sendiri tidak mendengar sebarang penjelasan berhubung isu tersebut namun berikrar akan membatalkan keputusan mengekalkan had umur kepada 40 tahun jika khabar angin tersebut benar berlaku.

“Istana tidak beri penjelasan berhubung isu, memang ada cerita ada campur tangan istana dalam perkara ini.

“Sebenarnya istana tidak ada hak dalam perkara ini, jika betul ada campur tangan kita akan batalkan keputusan tersebut,” tegasnya selepas mempengerusikan mesyuarat BERSATU di Yayasan Kepimpinan Perdana petang ini.

Rabu lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 yang antara lain untuk menurunkan had umur belia daripada 40 kepada 30 tahun.

RUU itu diluluskan selepas dibahaskan 17 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang hampir lima jam.

Sebelum ini juga,  Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan kesediaan untuk mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi memberikan penjelasan berhubung pindaan yang sama.

Mengakui kecewa kerana wujud campur tangan dalam perkara tersebut walaupun telah menerima persetujuan daripada kerajaan negeri, beliau menjelaskan, kerajaan berpendirian tegas meneruskan pindaan umur itu di setiap negeri.

Bagaimanapun, semalam Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, isu had umur belia di Johor sudah selesai dengan penegasan pendirian kerajaan negeri.

“Saya rasa isu had umur belia sudah selesai. Pendirian kerajaan negeri masih kekal (sehingga umur 40 tahun),” ujarnya.

Mahathir juga tidak memberi sebarang perincian seandainya kerajaan pusat berhasrat untuk menyiasat keputusan oleh kerajaan negeri Johor itu.–MalaysiaGazette