Dr. Raha Abdul Rahim
Dr. Raha Abdul Rahim

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus diiktiraf peringkat dunia apabila menerima geran penyelidikan antarabangsa sebanyak RM 2.2 juta melibatkan sebanyak 10 projek penyelidikan pada tahun ini.

Naib Canselor UTeM, Prof. Dr Raha Abdul Rahim berkata, jumlah geran penyelidikan antarabangsa terbesar telah diperoleh menerusi syarikat dari Hong Kong yang bertapak di Malaysia iaitu Xinyin Solar Sdn Bhd.

Dana sebanyak RM1 juta iaitu RM800,000 untuk Geran Penyelidikan UTeM dan RM200,000 dimasukan ke dalam Tabung Sumbangan Industri yang bertujuan untuk kebajikan pelajar universiti.

Jelas beliau, UTeM turut turut berbangga apabila menjadi universiti pertama di negara ini yang berjaya memperoleh Geran Penyelidikan Antarabangsa ERASMUS+ CBHE on Automotive Engineering bersama FH JOANNEUM University of Applied Sciences, Graz, Austria.

Projek penyelidikan ini berjumlah RM412,000 akan dijayakan bagi tempoh 36 bulan yang diketuai oleh Prof. Ts. Dr. Noreffendy Tamaldin dari Pusat Kecemerlangan Centre for Advanced Research on Energy (CoE –CARE).

Ujar beliau, UTeM turut menerima projek Techno-Economic Framework For Resilient and Sustainable Electrification bernilai RM729,306.00 dengan kerjasama The University of Manchester tajaan The Engineering And Physical Sciences Research Council ( EPSRC), United Kingdom.

“Projek tersebut diketuai oleh Prof. Madya Dr. Gan Chin Kim melalui Pusat Kecemerlangan Centre for Robotics and Industrial Automation (CoE-CERIA) yang mana turut menerima satu lagi geran sebanyak RM100,000 daripada Maqo Technologies (M) Sdn Bhd (MAQO) iaitu syarikat antarabangsa yang terlibat di dalam industri tenaga boleh diperbaharui,” ujar beliau.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM, Prof. Dr Zulkifilie Ibrahim berkata, UTeM juga telah berjaya menerima geran padanan penyelidikan bersama universiti luar negara dari Thailand dan Indonesia dengan jumlah projek RM120,000.

Katanya, projek berkenaan adalah Study of Wood Polymer Composite for Sustainability Application bernilai RM60,000.00 dengan Prince of Songkla University (PSU, Thailand) yang diketuai oleh Dr Zaleha Mustafa dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan mengetuai projek penyelidikan.

“Projek kedua pula adalah bernilai RM60,000.00 dengan kerjasama Universti Sriwijaya (UNSRI) Indonesia diketuai oleh Dr. Mohd Riduan bin Ahmad, Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK),“ ujar beliau.

Menurut beliau, dua orang penyelidik UTeM iaitu Dr. Muhd Ridzuan Mansor dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) dan Ts. Dr. Norfariza Ab Wahab dari Fakulti Teknolofi kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP) turut berjaya memperoleh geran penyelidikan antarabangsa ASEAN NCAP Collaborative Holistic Research (ANCHOR) dari pihak New Car Assessment Program for Southeast Asian Countries (ASEAN NCAP) masing-masing bernilai RM30,000 dan RM18,800.

Tambah beliau, dua orang pensyarah UTeM turut mencipta kejayaan tersendiri mengharumkan nama negara di Netherlands apabila projek tesis pengajian peringkat PhD mereka  telah mendapat pengiktirafan daripada Department of Industrial Design, Eindhoven University of Technology (TU/e), Netherlands.

Dana penyelidikan yang diperoleh oleh mereka berdua iaitu Dr. Nidzamuddin Md. Yusof dan Dr. Juffrizal Karjanto dari FKM masing-masing berjumlah RM40,000.

Usaha pengantarabangsaan UTeM terus diperkasakan melalui kerjasama penyelidikan dengan universiti dan industri luar negara dalam bidang tujahan universiti iaitu Teknologi Pembuatan Termaju yang meliputi bidang Teknologi Hijau, Kejuruteraan Sistem, Interaksi Manusia – Teknologi dan Teknologi Termaju.

UTeM amat mengalu-alukan penglibatan kerjasama dari pihak luar samada pihak industri, pihak swasta dan agensi kerajaan didalam mencapai Visi dan misi UTeM. – MalaysiaGazette