Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa hairan dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana tidak mengambil tindakan menangkap individu yang dikaitkan dengan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dalam video seks sejenis yang tular.

Beliau turut hairan apakah seks sejenis di negara ini tidak lagi menjadi kesalahan berat di sisi undang-undang.

“Apakah di bawah kjaan PH, seks sejenis tidak lagi merupakan kesalahan? Riuh satu dunia,tak ada pun tangkapan,” katanya di Twitter hari ini.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh dipercayai merujuk kepada Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini membenarkan Haziq serta lima individu lain ditahan reman enam hari bagi membantu siasatan kes video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Perintah reman sehingga 20 Julai itu dikeluarkan Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki terhadap Haziq Abdullah, 27, dan lima lelaki lain.

Mahkamah membenarkan permohonan polis untuk menahan reman keenam-enam lelaki itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seksyen 377B ialah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan luar tabii yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan hukuman sebatan manakala Seksyen 233 ialah penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun, jika sabit kesalahan. -MalaysiaGazette