Najib Razak

KUALA LUMPUR – “Eh.. tol masih ada masa itu ke?,” tanya Datuk Seri Najib Razak.

Pertanyaan sinis itu dibuat selepas Menteri Kerja Raya, Baru Bian memaklumkan bahawa penggunaan Smart Tag akan dilupuskan dua tahun lagi dan akan digantikan dengan radio-frequency identification (RFID).

Baru berkata, sistem tol tanpa palang hanya boleh dimulakan bila sistem RFID digunakan secara meluas di seluruh negara.

Menurut pelan tindakan asal Lembaga Lebuhraya Malaysia, sistem RFID sepatutnya bermula pada suku ketiga tahun lalu.

Lorong khas untuk Smart Tag tidak lagi digunakan dan digantikan dengan sistem “free flow” tanpa rumah tol dalam masa dua tahun lagi.

Kerajaan Pakatan Malaysia melalui manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu meletakkan penghapusan tol sebagai janji-janji utama dalam lima tahun.

Bulan lalu, Kementerian Kewangan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan mencadangkan untuk mengambil alih empat syarikat konsesi lebuh raya pada harga RM6.2 bilion.

Pemansuhan kadar tol ini akan membabitkan empat lebuh raya iaitu Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART. – MalaysiaGazette