Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes sambil diiringi Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Easy Parcel, Clarence Long (tiga kanan), Pengarah Urusan Malaysia (Pelaburan) Gobi Partners, Jamaludin Bujang (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Teleport, Pete Chareonwongsak (dua kanan) bergambar kenangan pada Majlis Perasmian Teleport Brand anjuran AirAsia di Social Platform, Menara Ilham, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Platform kargo dan logistik AirAsia Group, Teleport dan firma modal teroka Gobi Partners melabur AS$10.6 juta (RM43.55 juta) dalam sebuah syarikat e-dagang penghantaran bungkusan serantau, EasyParcel.

Menurut Ketua Pegawai AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes, pelaburan dan pemilihan EasyParcel sebagai rakan strategik syarikat penerbangan tambang murah itu bakal meningkatkan sumbangan pendapatan dari segmen kargo dan logistik kepada kumpulan.

Buat masa ini katanya, perolehan yang disumbang oleh segmen tersebut adalah terlalu rendah iaitu empat peratus atau kira-kira RM400 juta setahun.

“Lima puluh sehingga 60 peratus kargo diisi dengan beg (segmen penumpang) jadi bakinya diperuntukkan untuk kargo dan logistik, bagaimanapun penggunaan ruang tersebut adalah terlalu rendah.

“Buat masa ini kira-kira 15 peratus daripada ruang kargo digunakan dan kami mensasarkan untuk meningkatkan penggunaannya sekurang-kurangnya kepada 20 peratus setahun,” katanya semasa sidang media selepas pengumuman kerjasama di antara tiga syarikat berkenaan di sini hari ini.

Jelas Tony, potensi perniagaan bagi segmen kargo dan logistik sangat besar membuatkan AirAsia berminat untuk meningkatkan penyertaan mereka.

Tambahan pula, margin keuntungan bagi segmen tersebut adalah besar kerana mereka hanya perlu mengeluarkan sedikit kos tambahan untuk bahan api dan petugas-petugas penyelenggaraan sahaja.

Dalam pada itu, EasyParcel yang beribu pejabat di Pulau Pinang turut beroperasi di Indonesia, Singapura dan Thailand akan menggunakan kelebihan laluan penerbangan yang ada pada AirAsia untuk mengembangkan lagi perniagaannya terutama kepada usahawan-usahawan kecil dan sederhana (PKS).

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Clarence Leong, mereka merancang untuk meneroka pasaran-pasaran baharu di rantau Asia pada masa hadapan.

Namun dalam tempoh 12 bulan akan datang, syarikat tersebut mahu menumpukan perhatian untuk mengukuhkan perniagaan di pasaran-pasaran sedia ada.- MalaysiaGazette