Mohd Kassim Abdul Hamid
Mohd Kassim Abdul Hamid

SHAH ALAM – Bapa anggota bomba yang meninggal berikutan rusuhan di sebuah kuil di Subang Jaya pada 17 Disember tahun lalu mahu Peguam Negara dibicarakan kerana didakwa menghina mahkamah.

Permohonan dibuat menerusi permohonan ex-parte (sebelah pihak) yang difailkan menerusi peguam keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim berhubung afidavit Tommy Thomas.

Perkara itu dimaklumkan peguam mewakili keluarga itu, Kamaruzaman A Wahab kepada Koroner Rofiah Mohamad sebentar tadi.

“Permohonan itu sudah difailkan pagi tadi,” katanya pada Mahkamah Koroner.

Permohonan untuk memulakan prosiding komital itu difailkan Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associates di Mahkamah Sesyen.

Mengulas lanjut, salah seorang peguam keluarga Muhammad Adib, Mohd Zubir Embong berkata, permohonan tersebut dilakukan selepas Tommy dalam afidavitnya membuat kesimpulan awal tentang punca kematian anggota bomba tersebut meskipun inkues masih berlangsung.

“AG (Tommy) semasa laporan afidavit itu mengatakan bahawa punca kematian Adib adalah bukan akibat dipukul,.” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar mahkamah.

Permohonan itu juga ujar beliau, telah diutarakan kepada Peguam Negara menerusi Pegawai Pengendali inkues, Faten Hadni Khairuddin.

Terdahulu afidavit yang difailkan Peguam Negara itu pada 3 April lalu disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Hamdan Hamzah.

Berikutan itu, Jawatankuasa Bertindak Menyelamatkan Kuil Mariamman Seafield bertindak menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Koroner yang menolak permohonan untuk menjadi pemerhati dalam inkues.

Inkues yang memasuki hari ke-40 memanggil pakar fizik, Dr Amir Radzi Abd Ghani memberi keterangan berhubung pengiraan daya hentaman ke atas bahagian dada Muhammad Adib.-MalaysiaGazette