Friday, March 29, 2024
Home Utama Biarlah masuk Tanjung Rambutan daripada masuk neraka, kata Hamidah

Biarlah masuk Tanjung Rambutan daripada masuk neraka, kata Hamidah

Hamidah Osman.
Hamidah Osman.

KUALA LUMPUR -“Biarlah masuk Tanjung Rambutan daripada saya masuk ke neraka kerana berbohong kepada bangsa, agama dan negara.”

Itu reaksi bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Hamidah Osman dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini.

Reaksi tu menyusul selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Hamidah sepatutnya masuk ke Tanjung Rambutan selepas mendakwa beliau menyaksikan bagaimana Lim Kit Siang mencadangkan penubuhan Bersatu.

Hamidah juga mendakwa bertanggungjawab memaklumkan perkara tersebut kepada bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas lanjut, katanya, beliau tidak mahu di hadapan rakyat cakap lain dan di belakang rakyat cakap lain kerana itu semua akan dijawab di akhirat nanti.

“Saya agak hairan kenapa setelah mengakui (Lim Kit Siang mencadangkan penubuhan Bersatu) Tun Mahathir mencadangkan supaya saya dan Datuk Seri Najib masuk Tanjung Rambutan?

“Namun saya berpendapat biarlah masuk Tanjung Rambutan daripada saya masuk ke neraka kerana berbohong kepada bangsa, agama dan negara,” katanya.

Dalam kenyataan tersebut Hamidah turut berterima kasih kepada Dr Mahathir kerana akhirnya mengakui bahawa sememangnya Kit Siang ada mencadangkan penubuhan satu lagi parti Melayu untuk menarik 10 peratus undi UMNO.

“Begitu pantas Tun Dr. Mahathir membalas kenyataan dan pengakuan saya berkenaan penubuhan PPBM adalah berasal dari cadangan Lim Kit Siang.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tun Mahathir kerana beliau akhirnya mengakui bahawa memang Lim Kit Siang ada mencadangkan penubuhan satu lagi parti Melayu untuk menarik 10% undi UMNO.

“Nampak nya bukan Melayu yang mudah lupa tetapi Lim Kit siang yang sudah lupa,” katanya. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

Hamidah patut masuk ‘Tanjung Rambutan’