KUALA LUMPUYR – Saham di Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi ini selepas ditutup tinggi semalam dengan pasaran mengunjurkan bursa tempatan meneruskan pemulihan sederhananya dalam tempoh terdekat ini.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.82 mata kepada 1,671.55 selepas naik 2.92 mata kepada 1,672.37 pada paras penutup semalam.

Indeks itu dibuka 0.88 mata lebih rendah kepada 1,671.49 pada awal dagangan pagi ini.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 140 berbanding 91, manakala 192 kaunter tidak berubah, 1,432 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 168.18 juta unit bernilai RM73.17 juta.

Maybank Investment Bank percaya indeks utama itu akan mencatatkan pemulihan sederhananya pada masa akan datang.

“Sektor perbankan dan pengeluar sarung tangan kekal dalam fasa penstabilan. Sementara itu, minat belian telah meningkat terhadap syarikat telekomunikasi, perladangan dan utiliti.

“Keseluruhannya, kami menjangkakan Indeks FBMKLCI mencatatkan lantunan semula dalam tempoh terdekat ini,” kata firma penyelidikan itu dalam satu nota hari ini.

Dari segi teknikalnya, indeks petunjuk pasaran itu dijangka berada dalam jajaran antara 1,665 dan 1,685 hari ini, manakala sokongan rendah dijangkakan pada paras 1,670 dan 1,656.

TNB menerajui kaunter rugi dalam kalangan saham wajaran tinggi, susut empat sen kepada RM13.84, diikuti PPB, yang turun 14 sen kepada RM18.66, Genting Malaysia berkurangan dua sen kepada RM3.37 dan CIMB jatuh satu sen kepada RM5.17.

Dalam kalangan kaunter untung, MPI meningkat 16 sen kepada RM9.66, Favco naik 13 sen kepada RM2.82, LPI menokok 10 sen kepada RM16.16 dan IWCity menambah 6.5 sen kepada RM1.05.

Indeks FBM Emas meningkat 7.65 mata kepada 11,875.08 dan Indeks FBMT 100 naik 2.93 mata kepada 11,693.84.

Indeks FBM Emas Shariah meningkat 5.44 mata kepada 12,276.08, FBM 70 naik 38.95 mata kepada 14,947.79 dan FBM Ace menokok 3.46 mata kepada 4,699.10.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 22.06 mata kepada 16,657.59, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.14 mata kepada 161.0 tetapi Indeks Perladangan susut 2.71 mata kepada 6,898.71. – MalaysiaGazette