Ekuinas
Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir.

KUALA LUMPUR- Ekuiti Nasional Bhd. (Ekuinas) melupuskan semua kepentingannya termasuklah rakan kongsi-rakan kongsi minoriti dalam APIIT Lanka Pvt Ltd. (APIIT Lanka) pada nilai kira-kira RM41 juta kepada BG Investments Pte Ltd (BG Investments).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir, pelupusan aset tersebut menjana Kadar Pulangan Dalaman Kasar (IRR) sebanyak 17.5 peratus dan gandaan wang sebanyak 2.2 kali daripada modal yang telah dilaburkan.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan hasil realisasi Ekuinas melebihi RM2.7 bilion.

“Keputusan Ekuinas untuk melupuskan APIIT Lanka adalah sejajar dengan strategi pelaburan kami untuk mendapat keuntungan daripada aset apabila tiba masanya dan menemui pembeli yang baik.

“Kami yakin dengan BG Investments. Mereka mempunyai pengetahuan tempatan, kepakaran dan sumber.

“Kami melihat mereka adalah pemilik terbaik yang mampu membawa APIIT Lanka ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Syed Arafat, APIIT Lanka telah berjaya berkembang kukuh dan menyumbang kepada salah satu pencapaian utama Ekuinas iaitu pembukaan kampus satelit baharu di Kandy.

“Ini memberikan platform untuk membesarkan perniagaan dengan meningkatkan jumlah program yang boleh ditawarkan oleh APIIT Lanka sekaligus meneroka pasaran baharu,” katanya lagi.

BG Investments adalah firma pelaburan yang berpangkalan di Sri Lanka dan mempunyai pendedahan terhadap industri-industri seperti perkhidmatan kewangan, marin, pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Mereka mendapati sektor pendidikan mempunyai potensi tinggi di Sri Lanka.-MalaysiaGazette