Zuraida Kamaruddin. foto NOOREEZA HASHIM, 19 JUN 2019.
SEBERANG PERAI – Exco Pulau Pinang, Phee Boon Poh membidas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang mendirikan “Pusat Aduan Menteri” di Bagan, Pulau Pinang tanpa mengadakan rundingan terlebih dahulu dengan pihak kerajaan negeri.
Boon Poh berkata, tindakan Zuraida itu sebagai penghinaan orang luar terhadap kerajaan negeri, Ketua Menteri, Menteri Kewangan, malahan tidak menghormati DAP sebagai rakan sekutu.
Tambahnya, pendirian “Pusat Aduan Menteri” juga perbuatan “tidak bermoral” yang tidak boleh diterima.
“Kalau menteri dirikan pusat perkhidmatan, maka ia masih boleh diterima. Tetapi, beliau telah membuka pusat aduan di sini.
“Ini merupakan tindakan yang memalukan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan kerajaan negeri dengan andaian kami gagal menyediakan perkhidmatan yang baik,” katanya seperti dipetik Kwong Wah Yit Poh.
Katanya lagi, pusat aduan itu seakan-akan mencerminkan Majlis Perbandaran Seberang Perai gagal menyediakan perkhidmatan secara baik.
“Kalau macam itu, kenapa majlis diberi penarafan lima bintang setiap tahun selain diluluskan untuk dinaik taraf kepada bandar raya,?” katanya.
Boon Poh juga berkata, beliau mahu menjadi pelanggan pertama pusat aduan itu.
“Saya mahu mengadu kenapa isu sampah dari luar negara tak selesai-selesai dan permit import terus dikeluarkan.
“Kami di sini lakukan penguatkuasaan setiap hari dan mereka (kementerian) pula berlagak seperti orang baik. Lagi baik beri kuasa kepada kerajaan negeri dan saya, dijamin isu sampah luar negara ini selesai dalam dua bulan,” katanya. – MalaysiaGazette