Gading Kencana kini menjalankan projek Solar Photovoltaic Berskala Besar (LSSPV) 30 megawatt (MW) di Bidor, Perak.

KUALA LUMPUR – Gading Kencana Sdn Bhd (Gading Kencana), penyedia perkhidmatan tenaga boleh diperbaharui mengharumkan nama Malaysia di luar negara apabila mendapat pengiktirafan antarabangsa selepas diumumkan pemenang Anugerah Asian Photovoltaic Industry Association (APVIA) baru-baru ini.

Pada majlis anugerah yang diadakan di Shanghai, China sejak tahun 2013 itu, Gading Kencana turut mencipta sejarah menjadi syarikat tunggal Malaysia yang menerima anugerah bagi  kategori aplikasi fotovoltaic (perusahaan) pada tahun ini.

Pengarah Urusan Gading Kecana, Datuk Ir. Guntor Tobeng Mansor berkata, anugerah terbabit bertujuan mengiktiraf pelabur, pemaju, pengendali, syarikat kejuruteraan, institusi rekaan, kolej jurubina dan universiti yang terbabit dalam bidang perusahaan fotovoltaic yang berjaya mencapai kejayaan sehingga mampu dijadikan model perniagaan.

Jelas beliau, antara projek yang diusahakan ialah lampu jalan bertenaga solar yang dipasang di kawasan terpencil dan berbahaya bagi mengelakkan kemalangan jalan raya, projek bekalan elektrik dengan menggunakan solar PV genset hybrid system bagi sekolah di pedalaman, penggunaan maksimum tanah bagi ladang solar dan beberapa projek lain.

“Anugerah berkenaan adalah satu pengiktirafan bagi warga kerja Gading Kencana, sekali gus memberi suntikan semangat kepada kumpulan untuk berusaha lebih keras, efisien bagi menjadi pemain utama dalam industri tenaga diperbaharui di peringkat global.

8J0A4470
Datuk Ir Guntor Tobeng Mansor

“Dengan sasaran untuk meluaskan projek peringkat tempatan dan antarabangsa, anugerah berkenaan memberi peluang kepada syarikat berada setanding dengan syarikat besar dari negara lain,” katanya yang hadir menerima anugerah itu di sana.

Gading Kencana merupakan sebuah syarikat milik bumiputera sepenuhnya dan mempunyai pengalaman lebih dua dekad dalam industri pembekalan tenaga solar di negara ini.

Syarikat tersebut memiliki satu ladang solar di Ayer Keroh, Melaka dengan keluasan tujuh hektar yang merupakan ladang paling cekap di dunia kerana mampu mengeluarkan 1MW dalam setiap 0.61 hektar berbanding piawaian dunia 1MW dalam setiap 2.02 hektar.

Mengulas lanjut, Guntor berkata, syarikat kini menjalankan projek Solar Photovoltaic Berskala Besar (LSSPV) 30 megawatt (MW) di Bidor, Perak yang bakal mengubah landskap pekan itu yang dahulunya merupakan kawasan bijih timah.

Loji janakuasa solar berkeluasan 50 hektar yang beroperasi di Kampung Pasir, Jalan Teluk Intan, Bidor telah dimulakan sejak Oktober tahun lalu. – MalaysiaGazette