Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini mendakwa kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak dimasukkan terus ke dalam Tabung Bayaran Balik GST dan menyebabkan bayaran balik hanya dilakukan lebih daripada setahun kemudian.

Sedangkan Akta dan Peraturan GST jelas memperuntukkan mekanisme bayaran balik GST akan dimasukkan terus ke dalam Tabung Bayaran Balik GST supaya bayaran balik dapat dilakukan oleh kerajaan dalam masa 14 hari selepas Penyata GST (GST-03) difailkan secara elektronik.

Dalam kenyataan di sini, menteri kewangan itu memberitahu, wang bayaran balik GST yang dimasukkan terus ke dalam Akaun Hasil Disatukan telah digunakan untuk tujuan lain oleh kerajaan terdahulu.

Kelewatan pembayaran balik GST ini telah mengakibatkan para pembayar cukai mengalami kesulitan kewangan.

Tunggakan bayaran balik GST yang berjumlah RM19.4 bilion yang pernah dimaklumkan di Dewan Rakyat pada Ogos tahun lalu itu melibatkan 121,429 syarikat.

Antaranya Petronas, Shell dan Tenaga Nasional Bhd (TNB), kata Guan Eng.

Semalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengumumkan wang bayaran balik GST sebanyak RM19.4 bilion yang didakwa ‘dirompak’ oleh kerajaan dahulu tidak hilang.

Mengulas lanjut, Guan Eng menambah, dalam laporan itu juga PAC telah mengesahkan beberapa ketidakpatuhan dalam bayaran balik GST.

Menurutnya, amat jelas Akta GST telah dilanggar seperti yang dimaklumkan oleh Peguam Negara kepada PAC, yang mana akta itu memerlukan kutipan GST dimasukkan ke dalam Akaun Bayaran Balik GST bagi membolehkan bayaran balik GST dibuat dalam masa 14 hari bekerja.

Akan tetapi, ini telah gagal dilakukan seperti yang diperuntukkan oleh Akta GST, sebaliknya kutipan GST telah dimasukkan terus ke dalam Akaun Hasil Disatukan.

Guan Eng berkata, Peguam Negara menyatakan amalan ini menyalahi prinsip asas undang-undang amanah dan keperluan perakaunan amanah, serta tidak selaras dengan peruntukan Seksyen 54(2) dan Seksyen 54(5) Akta GST 2014

Malah, katanya, kutipan GST milik pembayar cukai yang dimasukkan terus ke dalam Akaun Hasil Disatukan telah digunakan oleh kerajaan terdahulu untuk tujuan lain, dan seterusnya mengakibatkan kelewatan dalam membayar balik bayaran balik GST.

Hanya sebahagian daripada kutipan GST (kira-kira 35% daripada jumlah kutipan GST) telah dipindahkan ke Tabung Bayaran Balik
GST, katanya.

“Rumusan laporan PAC menunjukkan bahawa kerajaan terdahulu telah menggunakan kutipan GST untuk tujuan lain, dan seterusnya menyebabkan kekurangan dana sebanyak RM19.25 bilion.

“Ini kerana Tabung Bayaran Balik GST setakat 31 Mei 2018 hanya mempunyai RM150 juta. Seperti yang dinyatakan oleh Jabatan Akauntan Negara dalam laporan PAC, RM19.4 bilion yang sepatutnya digunakan untuk membuat pembayaran balik GST telah dibelanjakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan, sedangkan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia mengakui bahawa RM19.4 bilion masih lagi tidak dibayar akibat dana yang tidak mencukupi dalam Tabung Bayaran Balik GST,” ujarnya.

Dalam hal ini, PAC telah mengesyorkan dua langkah berkaitan iaitu pentadbiran kerajaan perlu memastikan pematuhan penuh undang-undang negara khasnya dalam pelaksanaan tatacara kewangan supaya sistem pentadbiran kewangan lebih teratur dan akauntabiliti.

Pegawai-pegawai kerajaan yang telah diamanahkan perlu sentiasa menasihati pentadbiran Kerajaan tentang undang-undang, prosedur dan maklumat perangkaan tanpa perlu ada rasa gentar atau pilih kasih terutamanya dalam mengamalkan perancangan aliran tunai dan disiplin kewangan yang lebih akauntabiliti.

“Kementerian Kewangan akan menghormati kedua-dua syor utama PAC ini bagi memastikan segala pelanggaran undang-undang dan ketidakpatuhan peraturan kewangan mengenai wang bayaran balik GST oleh kerajaan terdahulu` tidak akan berulang lagi,” kata Guan Eng. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/07/15/kutipan-gst-tidak-dirompak-pac/