Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – PAS tidak akan bersama Pakatan Harapan (PH), sebaliknya bersama Gagasan Sejahtera akan terus berta’awun dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menubuhkan kerajaan, sama ada sebelum PRU15 dan semestinya selepas PRU15.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sokongan padu rakyat pelbagai kaum dan momentum politik yang menyebelahi parti-parti blok pembangkang di masa ini membayangkan hasrat rakyat Malaysia yang inginkan suatu perubahan pada negara dalam waktu paling dekat.

Menurutnya, pada masa ini, Pas akan memberikan fokus dan tumpuan sepenuhnya dalam menjayakan Agenda Perpaduan Ummah bersama UMNO.

Malah, tidak meninggalkan parti-parti BN lain serta rakan-rakan BN yang mewakili pelbagai kaum termasuk dari Sabah dan Sarawak.

“PAS yakin Muafakat Nasional yang diterajui oleh Umno dan PAS serta disokong oleh parti-parti lain kini merupakan pilihan terbaik untuk rakyat ke arah negara Malaysia yang lebih sejahtera, aman dan makmur,” katanya dalam satu kenyataan di sini. – MalaysiaGazette