Najib Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng telah melakukan pembohongan yang dahsyat dan pertuduhan rompakan wang untuk bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM19.4 bilion ke atas Barisan Nasional (BN) di dalam Dewan Rakyat merupakan tuduhan amat serius.

Berikutan itu, bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menggesa tindakan diambil terhadap menteri kewangan kerana terbukti beliau memfitnah dan berbohong.

“Apa yg dilakukan oleh Guan Eng, dia telah buat pembohongan dalam Dewan Parlimen. Ini satu tuduhan yg amat-amat serius, sebab itulah sebagai parti, Ketua Pembangkang BN telah buat laporan untuk beliau disabitkan ke Jawatankuasa yang berkenan,” kata Najib ketika ditemui di lobi Parlimen.

Ahli Parlimen Pekan itu turut berterima kasih dengan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang mengesahkan tiada kehilangan wang dalam kutipan hasil Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Saya rasa terbela dengan laporan PAC bahawa tidak berlaku sebarang perompakan mahupun sebarang penyelewengan dalam kutipan GST.

“Dan atas nasihat daripada para pegawai kerajaan, termasuk Ketua Audit Negara dan pegawai-pegawai Kementerian Kewangan, bahawa cara pentadbiran duit itu dimasukkan ke dalam Akaun Hasil Disatukan dahulu, kemudian baru tuntutan GST dibayar.

“Sebabnya refund (bayaran balik) tidak diketahui dan bergantung kepada kesahihan tuntutan dan sebagainya,” katanya.

Malah, Najib juga mengakui wang tersebut digunakan untuk urusan pentadbiran kerajaan, selain khidmat kepada rakyat dan pembangunan.

Jelasnya, kaedah itu juga sama dilakukan oleh negara-negara lain, termasuk Singapura.

“Mustahil ada penyelewengan, mustahil ada rompakan sama sekali,” tegasnya. – MalaysiaGazette