Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak penjelasan Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berhubung dakwaan wujud campur tangan pihak istana dalam isu had umur belia di negeri itu.

Presiden PKR itu berkata, perkara itu penting kerana ia bertentangan dengan dasar yang telah dimeterai oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang telah meminda had umur beliau kepada 30 tahun berbanding 40 tahun sebelum ini.

“Saya mahu minta penjelasan menteri besar Johor dan itu saya ingat ia proses yang lebih baik,” katanya ringkas kepada media dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan tegas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam bahawa kerajaan pusat akan membatalkan keputusan kerajaan Johor dalam mengekalkan had umur belia kepada 40 tahun sekiranya terdapat bukti campur tangan pihak istana negeri itu.

Dr Mahathir memberi amaran bahawa Istana Johor tidak ada hak untuk untuk campur tangan sebarang keputusan Kerajaan Pusat.

“Ada cerita campur tangan istana dalam keputusan kerajaan Johor mengekalkan had umur belia kepada 40 tahun.

“Istana tidak ada hak untuk campur tangan keputusan kerajaan.

“Kami akan membatalkan keputusan Johor jika bukti ada campur tangan istana,” katanya semalam.

Kerajaan negeri Johor minggu lalu dilaporkan membuat pusingan U berhubung isu had umur belia sebelum mengambil pendirian menolak cadangan itu dan mahu mengekalkan umur 40 tahun sebagai had usia belia.

Selain Johor, Sarawak, Selangor, Perlis, Pahang, Kelantan dan Kedah turut mengekalkan 40 tahun sebagai had usia belia. -MalaysiaGazette