Sesi fotografi bersama pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof dan anaknya, Zareef Yusof pada sidang media mengenai dakwaan pihak polis menafikan anaknya, Zareef Yusof terbabit dalam kemalangan di Simpang Empat Parit Gambut, Sungai Besar pada 11 Julai lalu di Finas Hulu Kelang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 16 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Pelakon dan penerbit, Datuk Seri Eizlan Yusof menuntut polis memohon maaf kepada keluarganya selepas didakwa mengeluarkan kenyataan anaknya iaitu Zareef Yusof, 9, tidak terbabit dalam satu kemalangan pada minggu lalu.

Eizlan berkata, permohonan maaf itu perlu dibuat sebelum 31 Julai ini di dalam media cetak dan elektronik.

Tegas beliau, jika pihak polis gagal berbuat demikian, tindakan undang-undang akan diambil di mahkamah.

“Saya bukan hendak cari gaduh dalam isu ini tetapi ia melibatkan impak besar kepada ramai pihak.

“Malah saya bukan hendak cari publisiti murahan namun hendak menjelaskan apa yang berlaku sebenarnya pada hari kejadian.

“Kejadian kemalangan menjadi viral pada sebelah pagi, alih-alih sebelah petang polis menafikan anak saya terlibat,” katanya dalam satu media khas di Finas di sini hari.

Eizlan menambah dia kecewa dengan kenyataan polis walaupun beranggapan terdapat kesilapan yang mungkin terlepas pandang.

Namun jelasnya, dia memiliki semua bukti pengesahan perubatan daripada doktor yang telah memeriksa anak keduanya di Hospital Ampuan Jemaah di Sabak Bernam.

“Sepatutnya pihak polis perlu menyiasat menyeluruh sebelum mengeluarkan kenyataan.

“Malah laporan polis juga tidak selari kenyataan polis di media mengenai kewujudan wanita 43 tahun ketika kemalangan berlaku.

“Ini kerana anak saya hanya bersama makciknya yang berusia 23 yang terus membuat laporan polis selepas kemalangan berlaku.

“Pada masa sama, Erma Fatima yang kebetulan melalui jalan sama hendak lokasi penggambaran telah berhenti dan membawa Zareef ke hospital,” katanya.

Pada 11 Julai lalu, polis menafikan anak Eizlan terlibat dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta di Simpang 4 Parit Gambut, Sungai Besar di Sabak Bernam.

Dalam kejadian pukul 8.20 pagi itu, kemalangan melibatkan krew penggambaran sebuah drama yang dalam perjalanan ke lokasi penggambaran drama tersebut.

Menurut laporan media, Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintenden Lim Chee Khoon berkata, kemalangan melibatkan kereta jenis Toyota Vios dinaiki dua wanita berusia 23 dan 43 tahun serta kereta jenis Proton Wira dipandu seorang tukang rumah lelaki berusia 48 tahun.

Katanya, siasatan awal pihaknya mendapati kereta Toyota Vios itu dalam perjalanan dari arah Sekinchan menuju ke Parit 12 Sungai Panjang manakala kereta Proton Wira dari arah Sungai Haji Dorani menuju ke Parit 16 Sungai Panjang.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian didapati Toyota Vios disyaki telah keluar simpang untuk melintas ke jalan di hadapannya.

“Namun pada masa sama, kereta Proton Wira dari arah jalan utama gagal mengelak lalu menyebabkan berlakunya pelanggaran,” katanya.

Jelas beliau, kemalangan itu tidak melibatkan sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Peraturan 3(2)(B) LN166/59.

Terdahulu pada pagi hari yang sama, tular di media sosial bahawa anak Eizlan terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan ke lokasi penggambaran drama Mak Cun musim kelima.

Berita itu dikongsi oleh Erma yang juga penerbit drama itu memuat naik foto kejadian di Instagram miliknya.

Menurut Erma, dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9 pagi itu, kereta Toyota Vios yang dipandu ibu saudaranya bertembung dengan sebuah kereta lain dari arah bertentangan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.