Najib Razak

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes penyewelengan SRC International Sdn Bhd melibatkan dana RM42 juta yang masuk hari ke-38 akan memanggil saksi ke-49 untuk membaca satu kenyataan bertulis.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram tidak mendedahkan identiti saksi yang bakal memberi keterangan pagi ini,

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghadapi tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan menyalahguna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Prosiding hari ini hanya akan berlangsung sehingga jam 11 pagi bagi memberi laluan kepada Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan menghadiri sesi perbahasan dan pengundian bagi menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun di Parlimen.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali memberikan syarat, prosiding akan dijalankan pada Jumaat ini jika pihak pendakwaan masih belum menyelesaikan kesnya sehingga jam 11 pagi nanti.

Dalam pada itu, Mohd Nazlan turut menetapkan Khamis ini untuk mendengar permohonan Najib untuk mendapatkan akses kepada dokumen-dokumen yang berkaitan dengan akaunnya di AmBank.

Tarikh itu ditetapkan selepas pertikaian antara pendakwa dan barisan peguam bela Najib,

Semalam mahkamah diberitahu nekas Perdana Menteri itu menggunakan lebih RM3.2 juta menerusi dua kad kredit dalam masa enam bulan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Naib Presiden AmBank, Yeoh Eng Leong sebagai saksi ke-47 ketika soal balas oleh  Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Budiman Lutfi Mohamed.

Perbicaraan bersambung sebentar lagi. –MalaysiaGazette