Pengarah JSJ Bukit Aman,Komisioner Datuk Huzir Mohamed

KUALA LUMPUR – Dua suspek terbaharu yang ditahan semalam berhubung penyebaran video lucah yang didakwa berkaitan dengan seorang menteri, direman empat hari bermula hari ini.

Perkara itu disahkan sendiri Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

“Dua suspek itu direman selama empat hari bermula hari ini hingga Sabtu. Tiga tangkapan dilakukan semalam di Pasir Gudang, Johor namun seorang lagi dibebaskan selepas keterangannya diambil,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Permohonan reman bagi kedua-dua suspek dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi tengah hari tadi.

Menurut Huzir, kes itu disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Terdahulu, Mahkamah Majistret hari ini ini mengekalkan perintah tahanan reman enam hari yang diputuskan Mahkamah Majistret terhadap bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz berhubung video lucah yang tular baru-baru ini.

Hakim Collin Lawrence Sequerah bagaimanapun meminda perintah reman yang dikenakan terhadap lima lelaki yang ditahan bersama-sama Haziq Abdullah daripada enam hari kepada empat hari. – MalaysiaGazette