Dr Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR – Kenyataan fitnah mengenai wang bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menjadi salah satu faktor  kelembapan ekonomi negara.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, ini kerana kenyataan palsu itu telah menjejaskan keyakinan pelabur asing.

Jelas beliau, berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia 2019, jumlah kemasukan pelabur asing mengalami defisit iaitu RM32.6 bilion pada tahun 2018 berbanding RM 40.4 bilion pada tahun 2017.

“Guan Eng seharusnya tidak mengeluarkan kenyataan palsu demi kepentingan politik kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan akhirnya menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.

“Selaku pentadbir, pemimpin PH haruslah tahu membezakan kepentingan nasional dan kepentingan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Najmil Faiz menambah, apa yang berlaku jelas menunjukkan pemimpin PH telah mengeluarkan kenyataan yang berbaur fitnah untuk melemahkan momentum BN dan akhirnya terbukti wang GST itu tidak dirompak.

Bagaimanapun katanya, kesan daripada kenyataan seorang menteri yang tidak profesional ini, pertumbuhan ekonomi negara telah terjejas akibat daripada ketidakpercayaan pelabur asing.

“Oleh itu, Guan Eng perlu bertanggungjawab atas kenyataan palsunya ini dan wajar dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette