Gelagat Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 17 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim kini bersependapat dengan Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin agar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bercuti.

Presiden PKR itu berkata, ia perlu bergantung kepada laporan kesahihan keempat-empat video berkenaan yang dikaitkan dengan Azmin.

“Saya berpandangan sekiranya didapati video itu sahih maka sepatutnya dia (Azmin) ambil cuti.

“Kalau video itu tak sahih saya tak fikir Azmin patut ambil cuti. Apa yang kita dengar tidak sahih,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Shamsul Iskandar mendesak pemimpin politik dikaitkan dengan tuduhan salah laku membantu pihak berkuasa supaya ‘bercuti sementara’ hingga siasatan kes penularan video seks melibatkan Haziq Abdul Aziz itu.

Beliau berkata, tindakan itu penting bagi memberi ruang siasatan dijalankan sepenuhnya dengan bebas dan adil.

“Pemimpin politik yang dikaitkan dengan tuduhan salah laku boleh membantu agensi penguat kuasa kita dengan sekurang-kurangnya bercuti sementara daripada menjalankan tugas rasmi sehingga siasatan ke atas mereka selesai sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kenyataan itu terus dibidas Mohamed Azmin dan menasihatkan Shamsul supaya jangan jadi munafik.

Bulan lalu, PKR bertindak memecat Haziq kerana secara terbuka menuduh pucuk pimpinan parti terbabit rasuah tanpa bukti.

Haziq mengakui dirinya sebagai pelaku dalam video lucah dua lelaki yang dikaitkan dengan seorang menteri. -MalaysiaGazette