Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Johor dan kerajaan negeri perlu memberi penjelasan mengapa beberapa projek perumahan rakyat di kawasan Pasir Gudang tidak diteruskan.

Projek-projek itu membabitkan RMMJ Kampung Sri Makmur yang telah dilakukan majlis pecah tanah pada 7 April 2018, melibatkan 620 unit pembinaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), Perumahan Komuniti Johor (PKJ-B) serta Kedai Kos Sederhana Rendah.

Selain itu, RMMJ Bandar Seri Alam yang membabitkan 1,122 unit dengan melibatkan 421 unit Perumahan Komuniti Johor (PKJ-B) dan 701 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).

Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pecah tanah bagi RMMJ Bandar Seri Alam telah dilakukan majlis pecah tanah pada 15 April tahun lalu.

Dua lagi projek ialah RMMJ Kampung Melayu Pandan (Jalan Imam) yang terlibat dalam pengambilalihan tanah Kem Tebrau bagi membina 1,062 unit perumahan.

Projek itu dijangka menyelesaikan masalah setinggan dan pemilikan tanah kepada 749 keluarga.

Projek Pembangunan Semula Kampung Warisan Senibong yang telah pun dipersetujui antara Kerajaan Negeri dengan syarikat pemaju, Tebrau Bay Sdn. Bhd. juga masih belum diteruskan.

Khaled memberitahu, projek itu bakal menyediakan kediaman yang teres 2 tingkat pada harga RM25 ribu seunit untuk 100 keluarga asal di kampung tersebut.

Tegasnya, kesemua projek perumahan rakyat ini bukan sahaja akan memberi manfaat besar kepada para penduduk setempat yang memerlukan.

Malah, kesemuanya sama ada peruntukannya sudah diluluskan atau proses pecah tanah sudah dilakukan.

“Malangnya, sehingga kita tidak wujud sebarang kemajuan dan perkembangan dalam semua projek ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.