Zulkifli Rajalie
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang, Zulkifli Rajalie

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang hari ini mencabar Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz meletakkan semua jawatan UMNO dan meninggalkan parti itu dengan segera.

Ketuanya, Zulkifli Rajalie menegaskan, langkah itu harus diambil Mohamed Nazri sekiranya mahu mengikut telunjuk DAP dan terus mengkritik kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Kalau beliau cabar Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk pecat beliau, sekarang saya cabar beliau, kalau nak sangat ikut DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sila keluar parti sekarang!

“UMNO tidak perlu pemimpin pentingkan diri sendiri seperti Datuk Seri Nazri! Jangan sembang dalam hati masih ada UMNO kalau hendak bersama DAP & Anwar.

“Silakan Datuk Seri Nazri keluar dari UMNO. Jangan nak buat wayang suruh pecat dan sebagainya. Kami dah naik muak dengan perangai Datuk Seri Nazri ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahad lalu, ahli Parlimen Padang Rengas itu mencabar UMNO mengenakan tindakan terhadapnya kerana mengkritik pelantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN.

Menurutnya, malah beliau sedia dipecat daripada parti kerana mempertahankan pendiriannya itu.

Namun beliau mengingatkan jika beliau dipecat, ia akan mengulangi peristiwa hitam dalam parti ekoran pemecatan beberapa pemimpin UMNO sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) seperti Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Zulkifli mempersoalkan pendirian Mohamad Nazri yang dilihat tidak konsisten memperjuangkan UMNO dan BN khususnya selepas parti keramat itu tewas dalam PRU14 lalu.

“Sekejap Datuk Seri Nazri ini buat pusingan U, suruh ahli UMNO ikut penyatuan ummah, sekejap ikut DAP dan Anwar.

“Kami ahli akar umbi merasakan Datuk Seri Nazri ini sangat tidak konsisten. Kami ahli UMNO mahu fokus dengan penyatuan ummah BN-Pas dan berjuang untuk kepentingan rakyat serta negara,” katanya.

Katanya lagi, Mohamad Nazri dilihat bagai musuh dalam selimut yang giat berkempen ke akar umbi agar menerima kerjasama UMNO dengan DAP serta menerima Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Di mana Datuk Seri Nazri di kala beliau perlu mainkan peranan sebagai pembangkang?

“Satu ketika dulu Datuk Seri Nazri beriya-iya melawat dari bahagian ke bahagian di Selangor untuk meyakinkan ahli UMNO bekerjasama dengan DAP dan menjadikan Anwar sebagai PM.

“Alhamdulillah di Ampang, kami Pemuda Ampang berjaya menghalang gerakan jijik ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette