Zainal Abidin Ahmad

KUALA LUMPUR –  Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menyemak naik sasaran jualannya tahun ini kepada 235,000 unit daripada 231,000 unit yang disasarkan pada awal Januari, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Tahun lepas, pengeluar kereta itu menjual 227,243 kenderaan, jualan tahunan tertinggi dalam sejarahnya, dengan 38 peratus penguasaan pasaran.

Beliau berkata, Perodua menjual kira-kira 121,800 kenderaan pada separuh pertama 2019 (1H19), peningkatan sebanyak empat peratus daripada 117,100 unit yang dijual dalam tempoh yang sama tahun lepas, disokong oleh permintaan yang sihat ke atas semua model keluarannya.

Dalam tempoh Januari-Jun, jumlah tempahan sebanyak 190,765, peningkatan lebih daripada tiga peratus daripada 184,949 tempahan dalam tempoh yang sama tahun lepas, katanya.

“Peningkatan dalam permintaan ke atas kenderaan kami dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2019, memberi kesan positif terhadap ekosistem automotif secara keseluruhan, dengan pembelian peralatan berjumlah RM2.7 bilion dalam tempoh yang sama.

“Berdasarkan unjuran untuk 1H19, kami menjangkakan membeli sejumlah RM5.4 bilion peralatan untuk keseluruhan 2019, dan meningkat kepada RM6 bilion pada 2020,” katanya semasa mengumumkan kajian prestasi 1H19 syarikat di sini hari ini.

Zainal Abidin berkata sejajar dengan sasaran jualan yang lebih tinggi itu, Perodua menjangkakan penguasaan pasarannya akan meningkat kepada 40 peratus tahun ini, dengan peningkatan 12.9 peratus jumlah pengeluaran kepada 249,000 unit.

Beliau yang ditanya mengapa Perodua mahu mengeluarkan jumlah yang lebih banyak daripada sasarannya, berkata itulah strategi syarikat untuk menangani dan mengurangkan tempoh menunggu pada masa hadapan memandangkan paras stok semasa tidak mencukupi.

Mengenai eksport, beliau berkata. Perodua telah menghantar 1,601 kenderaan pada 1H19 berbanding 923 unit dalam tempoh yang sama pada 2018, dengan Indonesia, Sri Lanka dan Mauritius muncul sebagai destinasi utama.

Bagi setahun penuh, Perodua berhasrat menjual 3,270 unit kenderaan berbanding 2,184 unit pada tahun lepas, dengan 2,170 unit disasarkan untuk pasaran Indonesia, katanya.

“Kami meneroka beberapa negara lain. Setakat ini, negara yang ditembusi, kami mampu bersaing dengan yang lain (pengilang kereta) dari segi daya saing harga,” katanya.

Mengenai pelaburan, Perodua memperuntukkan 21.6 peratus lebih tinggi kepada RM667.6 juta tahun ini berbanding 2018, dengan tumpuan untuk mengembangkan penyelidikan dan pembangunannya untuk memasukkan teknologi baharu seperti aspek keselamatan lanjutan dan konsep mobiliti pintar.

Syarikat itu telah melabur RM102.2 juta dalam 1H19 berbanding RM122.8 juta yang dibelanjakan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Mengulas mengenai Dasar Automotif Nasional yang ditangguhkan, Zainal Abidin berkata ia tidak memberi impak besar kepada Perodua. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.