Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) tidak akan campur tangan di dalam siasatan berhubung video intim yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut mengesahkan penahanan seorang lagi pemimpin Keadilan di peringkat negeri bersama dua orang lagi, seperti yang dilaporkan oleh media hari ini.

Berikutan itu beliau menyeru supaya ruang yang sewajarnya diberikan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan yang telus dan adil yang merangkumi dua persoalan penting.

Persoalan itu berhubung kesahihan video yang disebarkan dengan mengenal pasti pelaku di dalam video itu selaras dengan
siasatan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan kesalahan menyebarkan video lucah selaras dengan siasatan di bawah Seksyen 292(A) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Multimedia dan Komunikasi.

Menurutnya, siasatan pihak berkuasa itu haruslah merungkai kedua-dua perkara ini agar dapat mematikan isu ini terus menjadi perbualan orang ramai.

“Apabila tindakan undang-undang telah diputuskan oleh pihak berkuasa, Keadilan akan mengambil tindakan mengikut perlembagaan parti ke atas mana-mana anggota yang didapati terbabit di dalam mana-mana kesalahan di atas,” katanya.

Pada masa yang sama, Keadilan suka mengingatkan pihak berkuasa supaya siasatan wajar dilihat telus dan merungkai dua persoalan di atas, supaya siasatan di bawah Seksyen-seksyen 377B dan 292(A) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Multimedia dan Komunikasi dapat disempurnakan dengan seadilnya. – MalaysiaGazette