Ketua Cabang PKR Seputeh, Ganapathy Ponnusamy (kiri) bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.-pix FB

KUALA LUMPUR – Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) memecat keanggotaan Ketua Cabang PKR Seputeh, Ganapathy Ponnusamy berkuatkuasa hari ini.

Lembaga Disiplin dalam satu kenyataan berkata, tindakan tegas itu kerana Ganapathy didapati beberapa kali menyebar dan memuat naik berita tidak benar, memfitnah serta membuat sangkaan jahat kepada pemimpin parti sendiri di laman media sosial.

“Beliau telah didapati melanggar Kod Tata Etika Anggota, Perkara 10.2.2 iaitu membuat kenyataan umum tidak benar berbentuk fitnah terhadap mana-mana anggota parti.

“Ia dengan niat untuk memalukan, menjatuhkan maruah, merosakkan reputasi dan keperibadian anggota tersebut atau untuk menyebabkan kehilangan jawatan, pangkat atau kedudukan,” katanya.

Pemecatan tersebut dilakukan selepas Lembaga Disiplin PKR menjalankan proses siasatan dan memanggil beliau untuk pendengaran sebagaimana yang ditetapkan oleh tatacara disiplin parti.

Sebelum ini, Haziq Abdullah Abdul Aziz dipecat keanggotaannya daripada PKR selepas didapati bersalah dan melanggar kod tata etika parti kerana didapati mencemarkan dan berniat merosakkan nama parti.

Lembaga Disiplin pada 19 Jun lalu membuat keputusan untuk memberikan surat tunjuk sebab kepada Haziq Abdullah kerana didapati mencemarkan dan berniat merosakkan nama parti.

Haziq menerima surat tunjuk sebab kerana membuat pengakuan terbuka sebagai individu dalam video lucah dikaitkan dengan seorang menteri. – MalaysiaGazette